PETALING JAYA: Kerangka Ekonomi Madani akan merancakkan ekonomi dan memacu pertumbuhan industri termasuk perusahan kecil dan sederhana (PKS), kata Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).
Presidennya, Datuk William Ng berkata, pasaran kurang rancak sejak berakhirnya pandemik dan kerangka ekonomi baharu itu membolehkan hala tuju dan naratif baharu yang sangat diperlukan oleh ekonomi negara.
Menurut William, pihaknya sudah lama menegaskan cabaran terbesar bagi PKS bukanlah aliran tunai yang lemah atau kekurangan peluang perniagaan, tetapi margin perniagaan yang rendah akibat produktiviti buruh yang kurang memberangsangkan.
“Kerajaan (bertindak) tepat dalam usaha membetulkan ketidakpadanan buruh dan menambah baik gaji rakyat, sambil mewajibkan peningkatan kemahiran dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
“Apabila produktiviti buruh bertambah baik, secara semula jadinya perniagaan akan dapat membayar gaji jauh lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelancaran Ekonomi Madani yang bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia untuk membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.
Pengumuman ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ adalah rencana menyeluruh kerajaan bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu-isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
William turut mengalu-alukan tambahan pembiayaan RM 100 juta untuk geran pendigitalan, RM 20 juta untuk Geran Pembangunan Pasaran (MDG) dan Program Pembangunan Syarikat Pertengahan (MTCDP) dan tambahan RM 400 juta untuk pembiayaan mikro.
Jelasnya, inisiatif tersebut dialu-alukan ketika negara sedang menggalakkan PKS untuk mendigitalkan perniagaan mereka, mengurangkan pergantungan kepada tenaga pekerja dan mengglobalisasikan perniagaan.
Bagaimanapun, beliau kurang selesa dengan model gaji progresif yang dirancang dan berharap satu Jawatankuasa Pekerjaan Masa Depan ditubuhkan dengan segera dan diwakili oleh pemimpin sektor swasta dan awam untuk membolehkan lebih ramai rakyat mengecapi dividen pertumbuhan ekonomi negara.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, Ekonomi Madani adalah kerangka yang realistik dan logik kerana kerajaan menyediakan hala tuju yang lebih jelas mengenai petunjuk prestasi utama yang memerlukan kerjasama yang rapat antara semua pihak berkepentingan.
Beliau berkata, visi itu juga mencabar memandangkan keadaan ekonomi global yang sangat dipengaruhi oleh krisis geopolitik di seluruh dunia serta ancaman virus yang sentiasa berlaku.
Katanya, sebarang perkembangan seperti dua ekonomi terbesar di Amerika Syarikat (AS) dan China pastinya akan memberi implikasi langsung kepada pasaran kewangan global.
“Kesemua faktor ini mesti diambil kira secara serius untuk memacu negara ke arah objektif yang dihasratkan dalam tempoh 10 tahun.
“Kekuatan ekonomi domestik juga dengan kuasa beli yang tinggi terutamanya golongan berpendapatan pertengahan mampu menarik pelbagai pelaburan antarabangsa ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN










