CMM keluarkan Panduan Pendedahan ESG Ringkas

CMM keluarkan Panduan Pendedahan ESG Ringkas

AWANG ADEK HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Capital Markets Malaysia (CMM) hari ini mengeluarkan Panduan Pendedahan ESG Ringkas (SEDG) yang dicadangkan untuk perundingan awam.

Menurut kenyataannya, SEDG itu bertujuan untuk menyediakan panduan praktikal dan berstruktur tentang pendedahan yang dijangka daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berhubung dengan hal-hal alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

CMM, yang merupakan sekutu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), membangunkan SEDG untuk menyediakan PKS dengan set pendedahan ESG yang dipermudahkan dan piawai yang membolehkan mereka menerima pakai kemampanan untuk kekal berdaya saing dan relevan.

Selain itu, SEDG juga menjawab permintaan pendedahan daripada pihak berkepentingan, termasuk pelanggan, pelabur, bank dan pengawal selia.

Pengerusi Eksekutif SC dan Pengerusi CMM, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, SC menyedari cabaran yang dihadapi oleh syarikat, terutamanya PKS dalam menerapkan amalan kemampanan dalam operasi perniagaan mereka.

“Panduan ini merupakan langkah penting bagi semua syarikat dan perniagaan di Malaysia untuk menangani pertimbangan kemampanan dalam rantaian bekalan.

“Ini kerana, negara dan perniagaan di peringkat global meningkatkan komitmen sifar bersih mereka, sekali gus meningkatkan penelitian kawal selia dan kebimbangan pengguna mengenai perkara itu,” katanya.

SEDG diselaraskan dengan rangka kerja global utama dan piawaian pelaporan termasuk Inisiatif Pelaporan Global (GRI) dan Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB).

Selain itu, SEDG juga akan merujuk keperluan pelaporan tempatan termasuk yang di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia, Panduan Pelaporan Kemampanan Bursa Malaysia serta Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG).

Dalam merangka SEDG, CMM telah memulakan rundingan dengan beberapa kumpulan pemegang kepentingan termasuk dengan syarikat multinasional dan syarikat tersenarai awam serta PKS dan pihak berkepentingan tadbir urus korporat.

CMM akan melancarkan SEDG menjelang November 2023 dan akan mempertimbangkan semua ulasan semasa tempoh perundingan awam selama empat minggu yang bermula pada 26 Julai 2023.

Pihak yang berminat dan orang ramai dijemput untuk mengemukakan komen dan maklum balas mereka di FormSEDG sebelum tarikh tutup pada 25 Ogos 2023.

Tambahnya, pihak berkaitan boleh menghubungi [email protected] jika anda mempunyai sebarang pertanyaan berhubung kertas perundingan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN