Bilangan penganggur terus menurun

Bilangan penganggur terus menurun

ORANG ramai menunjungi karnival pekerjaan di Shah Alam, baru-baru ini. Pelbagai inisiatif dilakukan oleh kerajaan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia merekodkan kadar pengangguran sebanyak 3.5 peratus pada Mei 2023, dengan bilangan pe­nganggur terus menurun kepada 584,600 orang, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM berkata, pasaran buruh dalam negara terus me­nunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil, dicerminkan oleh peningkatan bilangan tenaga buruh berikutan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja.

Jelasnya, bilangan tenaga buruh pada bulan dilaporkan terus mencatatkan trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.86 juta orang daripada 16.84 juta bulan sebelumnya.

Kadar penyertaan tenaga buruh Mei kekal pada 70.0 peratus seperti bulan sebelumnya.

“Susulan ekonomi Malaysia dijangka berdepan cabaran berikutan kedudukan ekonomi global yang tidak menentu, yang digambarkan oleh indikator Indeks Pelopor Malaysia pada April 2023, pasaran buruh juga dilihat akan berdepan de­ngan ketidaktentuan.

“Oleh itu, tenaga buruh dijangka berkembang pada kadar yang sederhana dalam beberapa bulan yang akan datang,” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Mei 2023.

DOSM turut melaporkan bahawa bilangan penduduk be­kerja pada Mei meningkat secara berterusan, pertambahan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.28 juta orang daripada 16.25 juta pada April lalu.

Mengenai guna tenaga, jabatan itu melaporkan, seba­nyak 75.5 peratus daripada jumlah penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja, mening­kat sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 12.29 juta orang, berbanding 12.28 juta orang pada April.

“Begitu juga, penduduk be­kerja sendiri turut mencatatkan peningkatan, dengan pertambahan sebanyak 0.5 peratus kepada 2.94 juta orang berbanding bulan sebelumnya (April 2023: 2.92 juta orang).

“Dari segi sektor ekonomi, sektor Perkhidmatan terus mencatatkan trend positif dalam bilangan penduduk pekerja, terutamanya dalam aktiviti Perkhidmatan makanan & minuman; Perdagangan borong & runcit; dan Maklumat & komunikasi. Trend yang sama dalam guna tenaga sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, yang merangkumi 80.5 peratus daripada jumlah penganggur, terus berada dalam trend menurun, de­ngan pengurangan sebanyak 0.3 peratus kepada 470,400 orang, daripada 471,900 orang pada April lalu.

Jelasnya, mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 60.9 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi 6.7 peratus.

Sementara itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 11.0 peratus dengan jumlah seramai 313,000 orang. Bagaimanapun, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat sebanyak 0.3 mata peratus kepada 7.0 peratus, dengan 448,600 penganggur (April 2023: 6.7 peratus; 441,000 orang). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN