PETALING JAYA: Betamek Bhd. (Betamek) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Betamek Electronics (M) Sdn. Bhd. (BESB) memperoleh kontrak RM436.5 juta bagi membekalkan pelbagai alat ganti elektronik untuk model baharu Perodua.
Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu dalam satu kenyataan berkata, Surat Anugerah (LOA) daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) telah diterima oleh BESB hari ini.
Menurutnya lagi, pembekalan bahagian elektronik itu dijangka bermula pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 membabitkan tempoh enam tahun.
“Kontrak ini dijangka bakal menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan Betamek dalam tempoh enam tahun, bermula dari tahun kewangan 2025,” katanya
Sementara itu, Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Mahathir dalam kenyataan sama berkata, permintaan produk audio visual (AV) kenderaan syarikat dan aksesori kereta dijangka berkembang seiring peningkatan permintaan pelanggan utama Perodua.
“Meskipun insentif pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang ditamatkan bulan lalu, saya yakin permintaan produk AV dan aksesori akan terus berkembang didorong permintaan kukuh untuk kenderaan pelanggannya,” katanya.
Perodua baru-baru ini mengumumkan ia berada di landasan untuk memenuhi sasaran 330,000 pengeluaran dan 314,000 pendaftaran tahun ini, memadangkan syarikat kereta kompak itu akan menambah baik lagi kecekapan operasinya.
Sehingga 30 Jun 2023, Perodua mengeluarkan 153,813 kenderaan, meningkat 17 peratus berbanding 131,641 unit yang dibuat dalam tempoh yang sama 2022.
Pencapaian pengeluaran ini telah menghasilkan peningkatan pendaftaran sebanyak 13.6 peratus kepada 144,690 unit kenderaan bagi separuh pertama 2023 berbanding 127,343 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas. – UTUSAN










