Bentuk semula landskap pasaran, kewangan negara

Bentuk semula landskap pasaran, kewangan negara

AWANG ADEK HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membentuk semula landskap pasaran dan kewangan memandangkan negara kini berhadapan dengan pelbagai cabaran meskipun pernah merekodkan prestasi yang sangat baik pada masa lalu, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin.

Ujar beliau, pasaran modal Malaysia telah berkembang lebih daripada lima kali ganda, daripada RM0.7 trilion pada 1993 kepada RM3.6 trilion pada Jun 2023.

Katanya, bilangan syarikat tersenarai awam juga meningkat hampir 1,000 buah selain pasaran bon korporat yang diiktiraf sebagai kisah kejayaan pasaran yang sedang memba­ngun oleh institusi antarabangsa seperti Bank Dunia.

“Sepanjang perjalanan, kita telah mewujudkan rejim perlindungan pelabur yang kukuh dengan penekanan pada pendidikan dan pemerkasaan pelabur, serta penguatkuasaan undang-undang yang ketat.

“Ini dilengkapi dengan rangka kerja tadbir urus korporat yang dibangunkan dengan baik yang dipandang tinggi di rantau ini,” katanya merasmikan Persidangan Merapatkan Jurang Bakat Industri-Universiti anjuran Institut Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR) dan Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) di sini, semalam.

Bagaimanapun Awang Adek berkata, kepentingan pasaran negara di peringkat antarabangsa merosot berikutan kemunculan pasaran serantau baharu hingga menyebabkan wajaran Malaysia dalam Indeks Pasaran Baru Muncul (MSCI) kini merosot di bawah 1.5 peratus berbanding 25 peratus pada 1993.

“Pasaran saham kita merupakan antara kegemaran pelabur asing bagi tempoh yang lama pada masa lalu di mana sebahagiannya disebabkan oleh penyenaraian projek penswastaan besar dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Tetapi kini, pasaran di negara jiran pantas mengejar dan te­lah menjana banyak minat daripada pelabur asing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SC merancang untuk melancarkan panduan mengenai pematuhan maqasid syariah berasaskan prinsip sebelum akhir tahun ini.

Prinsip panduan yang berfokus kepada maqasid syariah itu meliputi kewangan sosial, pelaburan impak, Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) serta pengurusan dana dan kekayaan Islam.

Awang Adek berkata, Malaysia telah lama bertapak sebagai perintis dan peneraju global dalam kewangan Islam melalui campur tangan dan rangka kerja pengawalseliaan yang inovatif.

“Oleh itu, kita perlu memanfaatkan pemikiran kepimpinan sedia ada dengan melonjak serta memperluaskan spektrum produk tradisional dan alternatif.

“Ini bermakna ia bukan hanya membolehkan produk dan hasil yang patuh Syariah sahaja tetapi juga sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah yang lebih luas, bagi memenuhi permintaan yang semakin mening­kat untuk produk Islam yang berprestij,” katanya.

Tambah beliau, panduan maqasid syariah yang bakal dilancarkan itu dijangka yang pertama di dunia bagi memenuhi permintaan produk Islam yang berprestij dan semakin mening­kat.

“Ini bakal memberi pilihan kepada pelabur seluruh dunia untuk melabur bukan sahaja dalam produk patuh syariah di Malaysia, tetapi juga yang sejajar dengan maqasid syariah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN