PETALING JAYA: Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 4.2 peratus tahun ini meskipun berhadapan cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global.
Ketua Ekonominya, Hoe Ee Khor berkata, pertumbuhan negara dijangka didorong oleh perbelanjaan domestik dan pemulihan sektor pelancongan yang akan membantu mengurangkan kesan daripada pertumbuhan eksport yang melemah dan kejatuhan harga komoditi.
“Unjuran 4.2 peratus ini masih merupakan angka yang kukuh kerana pada awalnya kami menjangkakan ia lebih rendah memandangkan Malaysia merupakan pengeksport utama pembuatan dan berhadapan halangan ekoran permintaan lemah daripada Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) yang boleh menyebabkan kelembapan dalam eksport pembuatannya.
“Bagaimanapun Malaysia bernasib baik kerana perbelanjaan domestik bertahan dengan baik dan menyokong pertumbuhan,” katanya pada taklimat media mengenai tinjauan ekonomi serantau AMRO 2023 secara atas talian, semalam.
Menurut Ee Khor, ekonomi negara menerima manfaat daripada pemulihan sektor pelancongan selepas pandemik Covid-19 dan dijangka terus bertambah baik dalam beberapa bulan akan datang.
Katanya, ia ekoran jumlah pelancong China masih belum pulih sepenuhnya ke tahap pra pandemik selain masih terdapat banyak ruang untuk sektor perkhidmatan berkembang.
“Justeru itu, AMRO menjangkakan ekonomi Malaysia terus berkembang pada 5.2 peratus pada 2024 dan saya turut menjangkakan inflasi Malaysia akan menyederhana kepada 3.1 peratus sebelum berada di paras 2.6 peratus pada 2024,” katanya.
Sementara itu, Ee Khor berkata, AMRO mengekalkan unjuran pertumbuhan jangka pendek bagi rantau Asean+3 pada 4.6 peratus tahun ini, meningkat daripada 3.2 peratus tahun lepas.
Beliau berkata, walaupun kelemahan perdagangan global yang berterusan menyebabkan unjuran pertumbuhan Asean tahun ini mengalami sedikit penurunan kepada 4.5 peratus daripada unjuran April lepas pada 4.9 peratus namun, ini akan diimbangi oleh prospek lebih baik dalam ekonomi Tambah-3.
Katanya, kegiatan ekonomi pulih dengan kukuh pada suku pertama 2023 selepas pembukaan semula pasca pandemik akhir tahun lepas selain aktiviti pelaburan, yang sebelum ini terganggu oleh sekatan akibat pandemik, juga meningkat.
“Inflasi yang mereda merentas kebanyakan ekonomi ASEAN+3 susulan harga komoditi global yang lebih rendah dan rantaian bekalan menjadi normal, membolehkan banyak bank pusat di rantau ini menghentikan sementara atau melonggar syarat dasar monetari mereka.
“Tanpa kejutan baharu, prestasi eksport rantau ini mungkin akan berubah tidak lama lagi selain pemulihan dalam kitaran semikonduktor global, yang dijangka akan bermula akhir tahun ini bakal menjadi titik tolak bagi kebanyakan pengeksport rantau ini,” katanya. – UTUSAN










