PETALING JAYA: Pejabat Tourism Malaysia di luar negara terutama di Amerika Syarikat dan Eropah, digesa lebih agresif mempromosikan negara dalam kalangan pelancongan asing, sekaligus membantu meningkatkan aliran masuk wang ke dalam negara, seterusnya mengukuhkan kembali ringgit.
Selain itu, kata Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis, kerajaan juga perlu mempermudahkan proses kemasukan pelancong asing ke negara ini.
Menurut beliau, promosi pelancongan yang lebih agresif di luar negara terutama Amerika Syarikat dan Eropah, sangat diperlukan supaya lebih ramai pelancong melawat negara ini berikutan kos yang lebih rendah sekarang disebabkan kelemahan nilai ringgit.
Beliau berkata, kejatuhan nilai ringgit sepatutnya menjadi pendorong kepada kemasukan pelancong ke negara ini tetapi situasi tersebut masih belum ketara dan usaha perlu dipertingkatkan untuk menarik kedatangan mereka.
“Kita lihat negara-negara lain seperti Turkiye dan Jepun yang mata wang mereka jatuh sebelum ini dan mereka memberi penekanan dalam menggerakkan ekonomi termasuk dalam pelancongan.
“Turkiye sebagai contohnya berjaya mengukuhkan kembali lira melalui mempertingkatkan aktiviti pelancongan. Rakyat Malaysia juga antara penyumbang apabila ramai yang pergi melancong ke sana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengenai kemasukan pelancong, Uzaidi berkata, proses tersebut boleh dipermudahkan seperti menambah baik sistem dan kaunter imigresen dan laluan di pintu sempadan negara, serta melaksanakan visa semasa ketibaan (VoA).
Beliau mengambil contoh kemasukan kira-kira 300,000 warga Singapura pada cuti umum sempena Hari Buruh Mei lalu.
“Jika satu hari itu mereka berbelanja sebanyak SGD100 (RM345.55), sudah berapa banyak wang masuk ke dalam negara?
“(Justeru), adakan sistem yang lebih canggih, buat lorong (proses kemasukan) dan ini akan memudahkan kemasukan pelancong ke Malaysia. Ini sekali gus dapat memperkukuhkan ringgit,” katanya.
Uzaidi juga yakin, melalui promosi yang lebih agresif dan langkah-langkah memudahkan kemasukan pelancong, negara mampu mencapai sasaran ketibaan 16 juta pelawat tahun ini berbanding 10 juta tahun lalu.
Pada 2022, media melaporkan, Malaysia berjaya menarik 10 juta pelancong asing dan menjana pendapatan RM28.2 bilion.
Jumlah tersebut bagaimanapun masih jauh berbanding ketibaan 29.1 juta pelancong dan menjana pendapatan berjumlah RM86.14 juta pada 2019, sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Dan setakat tiga bulan pertama tahun ini, media melaporkan, ketibaan pelancong berjumlah 4.5 juta, kebanyakannya dari negara ASEAN. – UTUSAN










