Terengganu berpotensi bangunkan industri penyahkarbonan - Utusan Malaysia

Terengganu berpotensi bangunkan industri penyahkarbonan

RAFIZI Ramli menyampaikan taklimat pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) Bersama Kerajaan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu berpotensi membangunkan industri penyahkarbonan daripada telaga-telaga minyak yang kehabisan sumber petroleum di perairan negeri ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, telaga-telaga minyak kosong tersebut boleh dijadikan sebagai pusat penyimpanan bahan mentah industri teknologi hijau berkenaan.

“Kerajaan Pusat mahu menjadikan negara sebagai peneraju ekonomi hijau di rantau ini kerana ia merupakan pelaburan paling besar dunia sejak 2021.

“Ada potensi besar di Terengganu dengan menukar industri minyak dan gas di Kerteh menjadi industri hijau menggunakan telaga minyak sedia ada (yang telah kosong),” katanya.

Terdahulu beliau mempengerusikan Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) Bersama Kerajaan Negeri Terengganu di sini, hari ini

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Rafizi berkata, kerajaan juga perlu menggubal undang-undang baharu berkaitan industri penyahkarbonan sebagai panduan untuk para pelabur dalam sektor tersebut.

“Penggubalan undang-undang tersebut bertujuan merangsang kemasukan pelabur asing bagi industri berteraskan teknologi hijau berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, tambahnya, kerajaan perlu percepatkan penggubalan undang-undang untuk mengawal selia aktiviti penyahkarbonan ini.

“Saya harap industri penyahkarbonan dapat dibangun lebih awal sebelum 2030, iaitu pada 2028 boleh mula beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu merebut peluang tersebut kerana industri tersebut masih baharu.

“Teknologi penyahkarbonan telah dimulakan di utara Scotland tetapi negara itu tidak
memiliki fasiliti sedia ada sebaik kita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya