SC lancar FIKRA ACE memudahcara pembangunan fintech Islam

SC lancar FIKRA ACE bagi memudahcara pembangunan fintech Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan FIKRA ACE, inisiatif fintech dalam membangunkan ekosistem pasaran modal Islam (ICM) dengan memudahcarakan pembangunan fintech Islam melalui pendekatan berstruktur.

Menurut SC, FIKRA ACE merupakan inisiatif tiga tahun yang dipertingkatkan berikutan pelancaran program pemacu teknologi kewangan Islam sulung SC, FIKRA pada Mei 2021.

Katanya, melalui pendekatan pemacu tunggal, FIKRA ACE kini terdiri daripada tiga komponen iaitu ‘Accelerator’’ yang merupakan program pemacu bertumpukan penyelesaian Islam.

SC berkata, komponen lain adalah ‘Circle’ iaitu platform rangkaian untuk menghubungkan pihak berkepentingan berkaitan pasaran modal Islam dan industri fintech dan Excel, platform kerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk pembinaan kapasiti.

“Inisiatif ini akan mengenal pasti syarikat dengan penyelesaian fintech untuk memupuk, mengembangkan dan berhubung dengan ekosistem ICM dalam pelbagai segmen.

Selain itu, inisiatif tersebut juga bertujuan menyokong ruang fintech Islam dengan membina kapasiti dan saluran bakat untuk industri,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kohort 2023, tiga bidang tumpuan FIKRA ACE ialah kewangan sosial Islam, pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) patuh syariah serta pengurusan dana dan kekayaan Islam.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengekalkan ekosistem teknologi kewangan Islam yang berkembang maju dengan memanfaatkan teraju globalnya dalam pasaran modal Islam.

“Ketika kita menyaksikan pertumbuhan dan inovasi yang luar biasa dalam fintech Islam, kita diingatkan tentang potensi yang dimilikinya untuk industri kewangan Islam dan ekonomi global yang lebih luas,” ujarnya.

Pada 2021, urus niaga fintech Islam di negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berjumlah AS$79 bilion (RM368 bilion).

Walaupun ia mewakili 0.8 peratus daripada volum transaksi fintech global, segmen itu diunjurkan berkembang kepada AS$179 bilion (RM835 bilion) menjelang 2026 iaitu pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 17.9 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN