PETALING JAYA: Sapura Energy Berhad (Sapura Energy) dan kumpulan syarikatnya mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM146 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024, peningkatan 58 peratus daripada RM92 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi suku yang sama, Kumpulan melaporkan hasil sebanyak RM952 juta, peningkatan sederhana daripada RM886 juta yang diperoleh pada suku pertama 2023.
Kumpulan juga melaporkan peningkatan 30 peratus dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada RM332 juta pada suku tinjauan, berbanding RM250 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Anuar Taib berkata, keputusan kewangan tersebut menunjukkan daya tahan dan keazaman untuk memulihkan syarikat, walaupun berstatus Nota Amalan 17 (PN17) dengan akses terhad kepada modal kerja dan jaminan bank.
Katanya, semua segmen perniagaan yang dikendalikan Sapura Energy mencatatkan EBITDA yang menggalakkan dengan kejuruteraan dan pembinaan (E&C) menyampaikan RM46 juta, operasi dan penyelenggaraan (O&M) pada RM7 juta dan penggerudian pada RM130 juta.
“Strategi kami untuk menggunakan aset utama di luar sempadan Malaysia, meningkatkan keupayaan kami untuk mendapatkan kerja dan menyiapkan projek untuk pelanggan antarabangsa.
“Strategi ini telah membolehkan Kumpulan mengeksport kepakaran dan membawa pulang hasil yang diperoleh dalam dolar Amerika Syarikat (AS) ke negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, PATAMI pada suku tinjauan didorong terutamanya oleh usaha gabungan semua segmen perniagaan yang timbul daripada hasil yang diiktiraf daripada projek baharu dan berterusan, dan keuntungan pertukaran asing yang menggalakkan berikutan pengukuhan dolar AS.
Jelasnya, perolehan Kumpulan menyaksikan peningkatan disebabkan beberapa faktor, termasuk permulaan projek E&C utama di Congo dan pendapatan stabil yang dijana daripada penggunaan hampir penuh armada pelantar penggerudian.
“Hampir 70 peratus daripada pendapatan suku pertama dijana daripada operasi antarabangsa Kumpulan. Sebanyak RM748 juta hasil luar negara didenominasikan atau diperoleh dalam dolar AS, secara tidak langsung memberi manfaat kepada ekonomi negara.
“Sapura Energy berhasrat untuk mengekalkan momentum ini dengan syarat dan tahap risiko boleh diterima oleh Kumpulan. Ini dibuktikan dengan buku tawaran yang kebanyakannya terdiri daripada projek antarabangsa,” ujarnya.
Tambahnya, kira-kira 90 peratus daripada aktiviti pembidaan kini menjurus kepada peluang di luar Malaysia. – UTUSAN










