PETALING JAYA: Ringgit terus dibuka lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari ini berikutan sentimen berhati-hati pelabur menjelang keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed).
Memetik laporan Bernama, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran ekuiti kelihatan positif, dirangsang oleh jangkaan bahawa Fed AS mungkin menghentikan kenaikan kadar faedah menjelang laporan Indeks Harga Pengguna AS.
“Oleh itu, ringgit boleh mengalami sedikit kenaikan pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, peniaga ActivTrades Dyogenes, Rodrigues Diniz berkata, kebanyakan pakar percaya Fed harus mengekalkan kadar faedah pada 5.25 peratus.
“Jika itu berlaku, dolar AS boleh jatuh berbanding ringgit. Tetapi jika kadar faedah naik kepada 5.5 peratus, dolar-ringgit boleh naik dengan cepat kepada 4.7400,” kata beliau.
Dari sudut teknikal, beliau berkata, USD/MYR boleh meneruskan pergerakan kenaikan harga jika ia melepasi paras 4.6400.
“Pergerakan menurun berkemungkinan jika dolar-ringgit AS melepasi paras di bawah 4.5700, dan ia boleh jatuh serendah 4.5250 dalam beberapa hari,” tambah beliau.
Pada pukul 9.06 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.6220/6270 berbanding 4.6175/6220 penutup semalam.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih baik berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit lebih tinggi berbanding pound kepada 5.7863/7925 daripada 5.8157/8214 penutup semalam. Ia naik berbanding euro kepada 4.9742/9796 daripada 4.9804/9853, dan meningkat berbanding yen kepada 3.3092/3138 daripada 3.3162/3197 sebelumnya.
Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.
Ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.4403/4442 daripada 3.4408/4444 pada Isnin dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.3326/3535 daripada 13.3400/3599 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit turun sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 310.9/311.4 daripada 310.6/311.0 dan susut kepada 8.24/8.26 berbanding peso Filipina daripada 8.23/8.25 sebelumnya. – UTUSAN










