PETALING JAYA: Petotum, syarikat teknologi inovatif yang mengkhusus dalam penyelesaian teknologi haiwan peliharaan, mengumumkan kerjasama dengan Etiqa General Insurance Berhad.
Kerjasama strategik itu untuk merevolusikan ekosistem, menyediakan liputan dipertingkat dan perkhidmatan yang diperkemas untuk pemilik haiwan peliharaan di negara ini.
Perkongsian itu juga menyatukan kepakaran kedua-dua syarikat dalam insurans dan teknologi, untuk menangani keperluan haiwan peliharaan yang semakin berkembang dalam era digital masa kini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Petotum, Afifah Basir, kerjasama itu selaras dengan misi syarikat untuk meningkatkan kehidupan haiwan peliharaan melalui teknologi inovatif.
“Dengan menyepadukan ekosistem kami dengan penyelesaian industri insurans terkemuka Etiqa, kami boleh menyediakan pemilik haiwan peliharaan dengan ekosistem merangkumi semua termasuk insurans, penjagaan kesihatan dan pelbagai perkhidmatan berkaitan haiwan peliharaan.
“Bersama-sama, kami akan merevolusikan persepsi dan pengalaman insurans untuk industri haiwan peliharaan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Kerjasama antara Petotum dan Etiqa juga menandakan peristiwa penting dalam sektor insurans haiwan peliharaan di Malaysia.
Melalui kerjasama itu, syarikat berusaha untuk menawarkan pendekatan holistik untuk mengeluarkan produk insurans khusus untuk industri haiwan peliharaan yang menggalakkan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dan memastikan kesejahteraan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa, Fukhairudin Mohd. Yusof, pihaknya sangat teruja untuk bekerjasama dengan Petotum untuk menyumbang kepada keperluan yang semakin meningkat bagi insurans haiwan peliharaan di negara ini.
Kata beliau, dengan memanfaatkan gabungan kepakaran, Etiqa menyasarkan untuk menawarkan produk insurans komprehensif kepada pemilik haiwan peliharaan dengan pengalaman pelanggan yang lancar.
“Melalui teknologi canggih dan dipacu data, kami akan membangunkan penyelesaian insurans yang menangani keperluan unik industri haiwan peliharaan,” katanya. – UTUSAN










