Manifesto PH memang janji ‘bulan dan bintang’ – Rafizi

Manifesto PH memang janji ‘bulan dan bintang’ – Rafizi

RAFIZI Ramli ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia ketika melakukan tinjauan persiapan Jelajah Trak Kancil Bersama: PRN Johor 2026 di Persiaran Dato’ Haji Ismail Hassan, Kluang, Johor- UTUSAN/ARIF AIMAN ASROL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Manifesto Pakatan Harapan (PH) didakwa hanya merupakan janji ‘bulan dan bintang’ kepada pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana ia tidak realistik untuk dilaksanakan.

Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, tawaran PH itu tidak mencerminkan realiti sebenar di Johor dan hanya diletakkan untuk memikat pe­ngundi sahaja.

Beliau berkata, tawaran sebanyak 80,000 rumah mampu milik dalam lima tahun itu tidak mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan negeri.

“Manifesto PH itu memang janji ‘bulan dan bintang’. Contohnya, rumah mampu milik itu, mereka tidak melakukan kiraan terlebih dahulu ke? Ke­rana kalau 50,000 kediaman sahaja ia sudah memerlukan RM20 bilion.

“Sementara hasil kerajaan negeri pula hanya RM4 bilion setahun, jadi macam mana itu nak dilaksanakan?

“Sepatutnya apabila hendak buat manifesto, kena lakukan kiraan kos dahulu. Sama macam orang yang nak membeli kereta Mercedes tetapi mampu beli kapcai sahaja,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pengundi perlu membuat penilaian dan pengiraan terhadap janji serta manifesto yang dikeluarkan oleh semua parti politik bagi memastikan ia boleh dilaksanakan sekiranya gabungan tertentu membentuk kerajaan selepas 11 Julai ini.

“Kebimbangan saya adalah kalau yang dijanjikan itu tidak disertakan dengan kiraan atau macam mana ia hendak dilaksanakan.

“Kebanyakan negeri di Malaysia menghadapi defisit, ini termasuk dengan Johor,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN