PETALING JAYA: Ratu boling padang negara, Emma Firyana Saroji menganggap status pemain No.1 dunia sebagai pembakar semangat untuk memburu kejayaan lebih besar pada Sukan Komanwel 2026 yang bermula 23 Julai ini.
Emma mengakui tidak menyangka mampu memintas pencabar lain untuk menduduki tangga teratas ranking dunia, namun melihat pencapaian itu sebagai suntikan keyakinan menjelang temasya berprestij di Glasgow, Scotland.
“Saya pun tak sangka tiba-tiba ranking saya boleh naik nombor satu dunia dan saya anggap ini sebagai satu ‘booster’ untuk menuju ke Sukan Komanwel serta memberi semangat supaya lebih konsisten dalam setiap permainan yang akan saya hadapi nanti.
“Kalau tak ada tekanan, tipulah sebab masa saya nombor dua dunia pun saya dah rasa tekanannya, apatah lagi sekarang semua perhatian tertumpu kepada saya, tetapi saya ambil semua itu sebagai sesuatu yang positif,” kata Emma.
Pemain berusia 39 tahun itu berkata, cabaran sebenar kini bukan lagi mengejar kedudukan No.1 dunia, sebaliknya memastikan prestasi kekal stabil bagi mempertahankan ranking berkenaan dalam setiap kejohanan yang disertai.
“Saya perlu lebih konsisten dalam setiap perlawanan, termasuk di Sukan Komanwel dan kejohanan ranking dunia kerana untuk kekalkan kedudukan ini saya perlu beri 100 peratus serta merancang setiap penyertaan dengan sebaiknya.
“Saya masih cuba memahami sistem pengiraan ranking dunia kerana kadang-kadang mata boleh naik dan turun, jadi saya perlu tahu bagaimana untuk kekalkan kedudukan nombor satu itu lebih lama dan bukan sekejap sahaja berada di atas,” katanya.
Emma sebelum ini pernah menghuni ranking kedua dunia, namun kini berjaya mencipta sejarah peribadi apabila muncul pemain No.1 dunia dengan kelebihan sekitar 80 hingga 90 mata mengatasi pencabar terdekatnya.
Emma kini mengumpul mata ranking 787 mata, manakala pemain Australia, Jamie-Lee Worsnop, berada di kedudukan kedua dengan 709 mata, serta Cheryl Chan dari Hong Kong, China dengan 694 mata.-UTUSAN










