KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi perhatian soal kenaikan gaji dan simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Naratif Ekonomi Madani (NEM) yang bakal dilancarkan Ogos ini.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd. Firdaos Rosli berpandangan, adalah amat penting untuk kerajaan menaikkan pendapatan rakyat di samping mengembalikan RM145 bilion simpanan KWSP yang dikeluarkan sejak pandemik Covid-19.
“Adalah penting untuk menaikkan gaji dan menangani kekurangan dana dalam KWSP demi pertumbuhan ekonomi Malaysia secara amnya serta sektor perbankan.
“Kenaikkan gaji itu bukan sekadar gaji yang anda dan saya bawa pulang tetapi juga pencen yang merupakan simpanan untuk hari tua kita yang sudah habis semasa pandemik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada taklimat media mengenai sorotan kewangan Bank Islam bagi suku pertama 2023 dan tinjauan makro separuh kedua 2023 di sini.
Tambah beliau, kerajaan perlu mencari jalan melalui NEM untuk membawa masuk semula RM145 bilion ke dalam akaun KWSP bersama-sama dividen yang hilang disebabkan pengeluaran yang dibenarkan semasa pandemik Covid-19.
“Ini penting kerana kita tidak mahu memburukkan lagi ketidakcukupan pencen pada masa hadapan dan jika itu berlaku akan ada hutang yang lebih tinggi.
“Ini kerana, seperti yang saya katakan terdapat tiga kaedah meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu penduduk, pelaburan dan produktiviti serta hutang,” katanya.
Mengulas lanjut, Firdaos berkata, NEM juga perlu dikaitkan dengan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) memandangkan ia digubal semasa negara berada dalam pandemik Covid-19.
“Banyak perkara kita tidak jangkakan semasa ia digubal seperti permintaan yang tidak menentu dan kemarakkan inflasi selepas pandemik, jadi kita perlu kembali ke papan lukisan dan bermula dari awal lagi,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melancarkan naratif ekonomi Madani menjelang Ogos ini bagi hala tuju ekonomi negara yang lebih jelas.
Anwar berkata, naratif berkenaan bakal menjadi satu kerangka besar dan umum kepada nadi ekonomi negara, dan akan dijelaskan kepada rakyat secara berperingkat. – UTUSAN










