MATRADE, Naico terajui Pavilion Malaysia di IPAS 2023

MATRADE, Naico terajui Pavilion Malaysia di IPAS 2023

matrade
MATRADE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (Naico) bekerjasama menerajui Pavilion Malaysia pada Pameran Udara Antarabangsa Paris (IPAS) ke-54 2023.

Pavilion negara itu mempamerkan 14 pempamer Malaysia termasuk syarikat, agensi penggalakan pelaburan negeri, dan Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) pada acara aeroangkasa dan penerbangan terkemuka dunia itu.

Delegasi Malaysia bertujuan untuk menunjukkan komitmennya terhadap kemampanan, inovasi, teknologi pembuatan termaju dan untuk menyokong kestabilan rantaian bekalan global.

Acara yang dianjurkan oleh Salon International de l’Aéronautique et de l’Espace (SIAE), anak syarikat Persatuan Industri Aeroangkasa Perancis (GIFAS) itu berlangsung dari 19 hingga 25 Jun 2023 di Le Bourget Parc des Expositions.

IPAS 2023 ialah pameran perdagangan dwitahunan dan telah menarik pemain utama seperti Airbus, Boeing, Embraer dan Bombardier.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, sektor aeroangkasa tempatan memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan negara dalam inovasi dan teknologi serta eksport bernilai tinggi.

Ujarnya, ia merupakan bidang tumpuan utama yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Tindakan Aeroangkasa Malaysia 2030.

“Dengan industri yang mantap dan keupayaan kukuh dalam pemasangan dan penyelenggaraan pesawat, Malaysia mempunyai satu daripada sektor aeroangkasa terbesar di Asia Tenggara.

“Disokong oleh tenaga kerja mahir, Matrade sentiasa komited untuk menjana lebih banyak peluang bagi syarikat aeroangkasa Malaysia untuk memanfaatkan permintaan pasaran aeroangkasa global,” katanya dalam kenyataan.

Dari segi prestasi perdagangan, industri aeroangkasa di Malaysia merekodkan jumlah perdagangan RM24.04 bilion pada 2022, dengan eksport meningkat 9.1 peratus kepada RM6.32 bilion berbanding RM5.79 bilion pada 2021.

Eksport utama Malaysia untuk sektor aeroangkasa termasuk alat ganti untuk pesawat atau helikopter.

Perancis, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), China dan Singapura merupakan destinasi eksport utama Malaysia tahun lepas.

Menurut Mustafa, Malaysia mengalami peningkatan yang luar biasa sebanyak 99.1 peratus dalam eksport ke Perancis, mencecah RM1.78 bilion.

“Kami mengunjurkan pendapatan tahunan sebanyak RM55.2 bilion dan mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi seperti yang ditetapkan dalam Pelan Tindakan Aeroangkasa Malaysia 2030,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN