PETALING JAYA: M & A Securities Sdn. Bhd. (M & A Securities) telah berjaya menyelesaikan langkah pengambilalihan berbalik (RTO) SYF Resources Berhad (SYF) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Sejajar dengan pelaksanaan langkah RTO tersebut, SYF turut menukar namanya kepada M & A Equity Holdings Berhad (M & A Equity) yang lebih mencerminkan perniagaan teras baharu serta rancangan masa depannya dalam industri perkhidmatan kewangan.
RTO yang diumumkan buat pertama kali pada 2021, membabitkan usaha SYF membeli 100 peratus M & A Securities daripada Insas Bhd yang tersenarai di Pasaran Utama pada RM222 juta.
Ia dilaksanakan menerusi penerbitan sebanyak 1.009 bilion saham-saham SYF kepada Insas pada harga 22 sen sesaham.
Pengarah Urusannya, Datuk Bill Tan berkata, penyenaraian M & A Equity menandakan permulaan perjalanan korporat yang menarik selain dapat memberi tahap keterlihatan lebih jelas bagi M & A Securities.
Ia juga membuka lebih banyak ruang untuk Kumpulan meninjau peluang-peluang baharu ke arah menjadi sebuah kumpulan perkhidmatan kewangan Malaysia yang pelbagai dalam jangka panjang.
Katanya, melangkah ke hadapan, M & A Equity akan meneroka peluang dalam pengurusan aset dan mempertimbang untuk menubuhkan sebuah bank pelaburan Labuan yang menjadi sebahagian daripada inisiatif bukan organik dalam menyokong pertumbuhan jangka panjang.
“Kami percaya M & A Equity bersedia untuk membangun dan memanfaatkan kewujudan dan kemampuan sedia adanya dalam ruang kewangan korporat, disokong oleh rekod prestasinya yang telah mengetengahkan pelbagai pelanggan ke pasaran dengan kejayaan besar.
“Penyenaraian ini adalah langkah awal kami dalam berusaha menjadi pemain penting industri perkhidmatan kewangan, menawarkan rangkaian perkhidmatan kewangan yang meluas dan pelbagai dalam memenuhi keperluan pasaran modal Malaysia yang semakin pesat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Tan, dalam masa terdekat, M & A Equity berhasrat untuk mengembangkan perniagaan penasihat kewangan korporatnya, meningkatkan aktiviti liputan pelanggan bagi merebut peluang janji niaga dan mengambil lebih banyak langkah tawaran awam permulaan dan sekunder.
Selain itu katanya, Syarikat juga berhasrat mengembangkan perniagaan pembrokeran saham dan perniagaan pembiayaan margin dengan mengukuhkan lagi platform dagangan secara dalam talian serta memperluas pangkalan pelanggan melangkaui pasaran perusahaan kecil dan sederhana. – UTUSAN










