HLB catat untung bersih RM2.95 bilion - Utusan Malaysia

HLB catat untung bersih RM2.95 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Bank Berhad (HLB) mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak 24 peratus tahun ke tahun kepada RM2.954 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.

Momentum pertumbuhan pinjaman kasar dan pembiayaan terus berkembang sebanyak 7.2 peratus tahun ke tahun kepada RM174.2 bilion.

Kualiti aset yang kukuh dikekalkan dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sebanyak 0.52 peratus dan nisbah perlindungan kemerosotan nilai pinjaman berhemat (LIC) sebanyak 197 peratus.

Kedudukan modal dan kecairan yang teguh dengan nisbah ekuiti biasa tahap 1 (CET 1), tahap 1 dan jumlah modal masing-masing pada 12.9 peratus, 13.9 peratus dan 16.0 peratus.

Sementara itu, nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) dan nisbah perlindungan kecairan (LCR) masing-masing diuruskan pada 84 peratus dan 140 peratus.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, pihaknya sentiasa optimis dengan prospek perniagaan bagi baki tahun 2023 dan berpuas hati dengan prestasi asas bank yang kukuh sehingga kini.

Katanya, ini disokong oleh prestasi pertumbuhan pembiayaan yang sihat, kualiti aset yang kukuh dan pembiayaan berhemat serta kedudukan mudah tunai di tengah-tengah landskap global yang perlahan dicabar.

“Pertumbuhan keuntungan bersih selepas cukai didorong oleh pertumbuhan teratas yang sihat, pengurusan kos berhemat dan sumbangan teguh daripada syarikat bersekutu kami. Sehubungan itu, pulangan atas ekuiti (ROE) meningkat kepada 12.3 peratus untuk tempoh sama.

“Pinjaman dan pembiayaan kasar berkembang 7.2 peratus tahun ke tahun kepada RM174.2 bilion, diterajui oleh pengembangan dalam segmen gadai janji, perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan komersial kami, serta operasi di luar negara,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai prospek perniagaan, Domenic berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang baik di rantau 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2023, normal daripada pertumbuhan luar biasa tahun lepas.

“Daya tahan dalam permintaan dalam negeri yang disokong oleh pengembangan berterusan dalam penggunaan swasta dan peningkatan dalam aktiviti pelaburan dijangka membantu mengatasi masalah luar dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global.

Walaupun kegawatan perbankan Amerika Syarikat (AS) kelihatan terkawal buat masa ini, risiko kemelesetan yang berlarutan dalam kalangan ekonomi utama akan terus mengeruhkan prospek pertumbuhan global,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya