Bursa Malaysia perlu lebih banyak aktiviti tarik pelabur

Bursa Malaysia perlu lebih banyak aktiviti tarik pelabur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia memerlukan lebih banyak aktiviti seperti tawaran awam permulaan (IPO) bagi menarik lebih ramai pelabur terutamanya daripada pengurus dana asing, menurut penganalisis ekonomi.

Selain itu, kata Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, Bursa Malaysia perlu disusun semula melalui insentif-insentif serta-merta seperti penurunan cukai setem untuk menggalakkan lebih banyak jumlah transaksi bagi menarik para pelabur.

Beliau berpendapat, sektor ekuiti dalam pasaran modal negara sememangnya memerlukan perhatian atau rombakan setelah tiada aktiviti-aktiviti yang boleh menarik pelaburan besar.

Ujarnya, antara insentif penting adalah membuat perubahan kepada pasaran modal negara terutamanya melalui Bursa Malaysia kerana pasaran saham tempatan telah menjadi pasaran saham yang paling rendah prestasinya pada tahun ini dengan penurunan tujuh peratus.

“Ini termasuk menarik para pelabur asing untuk melihat Bursa Malaysia yang lebih cergas dan volum yang lebih tinggi dari masa ini.

“Aliran pelaburan masuk ke Bursa Malaysia oleh para pelabur asing dan juga pengurus dana tempatan pasti akan secara langsung menaikkan nilai mata wang ringgit apabila ia perlu dibeli untuk dilaburkan di pasaran saham tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiga langkah utama dalam membendung kelemahan prestasi Bursa Malaysia iaitu mengurangkan kadar cukai setem bagi saham yang didagangkan di Bursa Malaysia Securities daripada 0.15 peratus kepada 0.10 peratus, menggalakkan usaha niaga korporat dan memudahkan proses penyenaraian.

Kadar cukai yang dikurangkan itu akan berkuat kuasa Julai ini, tertakluk kepada had maksimum RM1,000 setiap kontrak.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, kerajaan juga mengambil langkah jangka panjang  memberikan insentif kepada pelabur dan pengurus dana terutama daripada modal teroka dan pelabur budiman untuk melabur dengan cara yang lebih murah dan pantas dalam pelbagai industri.

Ujarnya, ia terutama yang melibatkan pembangunan syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) yang melibatkan ekonomi digital.

“Proses kelulusan syarikat-syarikat baharu bagi disenaraikan di Bursa Malaysia juga turut diperbaiki supaya lebih cepat dan berkesan, kerana ini akan menarik kembali para pelabur secara aktif ke Bursa Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN