PETALING JAYA: Boustead Plantations Berhad (BPlant) optimis prospek akan bertambah baik dalam jangka panjang, walaupun berdepan masalah dan ketidaktentuan pasaran.
Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas BPlant, Izaddeen Daud berkata, ia boleh dicapai melalui penyepaduan berterusan pendigitalan dan mekanisasi merentasi operasi syarikat.
“Melihat ke hadapan, BPlant mempunyai strategi mantap yang digerakkan oleh pasukan yang berkebolehan.
“Ditambah dengan menegakkan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), BPlant berdedikasi untuk mengharungi landskap yang mencabar dan membuka nilai untuk pemegang saham,” katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-110 yang diadakan secara maya.
Beliau berkata, syarikat telah memulakan laluan pertumbuhan berterusan melibatkan inisiatif peningkatan hasil dan strategi pengimbangan semula aset.
Menurutnya, penerimaan teknologi canggih akan memastikan BPlant berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang yang muncul.
“Untuk memacu pertumbuhan yang mampan, tumpuan kami akan kekal teguh untuk meningkatkan hasil dan kecekapan operasi sambil meningkatkan kecekapan kos,” ujarnya.
Syarikat perladangan itu sebelum ini melaporkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai dan zakat (PAT) sebanyak RM589 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Keputusan lebih baik itu didorong terutamanya oleh harga produk sawit yang tinggi pada separuh pertama 2022 serta keuntungan yang direalisasikan daripada pelupusan tanah.
Syarikat juga mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.2 bilion bagi tahun tersebut, tertinggi sejak penyenaraiannya pada 2014.
Pada 23 Mei lalu, Kumpulan mencatatkan PBT sebanyak RM14 juta dan perolehan sebanyak RM200 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2023.
Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.0 sen sesaham untuk tahun fiskal berakhir 31 Disember 2023. – UTUSAN










