PETALING JAYA: BMW Malaysia mengumumkan kenderaan sedan elektrik baharu sulungnya berharga RM729,800, termasuk cukai jalan dan perkidmatan.
Harga tanpa insurans itu termasuk waranti lanjutan lima tahun dan pakej servis.
Kenderaan elektrik premium mewah itu hadir dalam varian M Sport dan merupakan antara model terkini yang diperkenalkan oleh pengeluar kenderaan premium berkenaan bagi portfolio BMW 7 Series, di samping varian BMW 750e xDrive dan BMW X7 xDrive40i Pure Excellence.
“Dengan pelan pembiayaan “Straight Line” yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW i7 xDrive 60 elektrik baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula daripada RM 8,401.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80 peratus bagi tempoh tujuh tahun),” maklum syarikat itu dalam kenyataan.
Jelasnya, tampil dengan 544 kk (400kW) dan jarak operasi sejauh 600 kilometer (WLTP), BMW i7 elektrik terbaharu mempersembahkan bahasa reka bentuk BMW yang terkini – dinamakan “Forwardism”, untuk kelas mewah.
“Lampu hadapan kristal BMW Iconic Glow dalam bentuk terbahagi di samping bingkai gril ‘kidney’ yang menonjol dengan iluminasinya mencungkil pesona sedan mewah ini yang tersendiri, disinambungkan dengan aneka kelengkapan kelas pertama serta ambien yang bersofistikasi tinggi,” katanya.
Pemilik jentera elektrik BMW i7 xDrive 60 yang baharu ini juga dapat menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:
- Waranti Tanpa Had Perbatuan 5 Tahun berserta Program Servis Berjadual Percuma oleh BMW
- Bantuan Tepi Jalan dan Talian Kemalangan oleh BMW
- Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – Kad Keistimewaan BMW
- Servis Dalam Talian BMW – UTUSAN










