PETALING JAYA: Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dilantik sebagai Gabenor BNM baharu berkuat kuasa 1 Julai ini hingga 30 Jun 2028.
BNM dalam kenyataan memaklumkan, Abdul Rasheed akan mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus yang akan menyempurnakan tempoh perkhidmatan lima tahun beliau pada 30 Jun ini.
Jelasnya, pelantikan Abdul Rasheed telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, Abdul Rasheed mula berkhidmat di Bank pada 1988 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada 2016.
“Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya. Beliau juga mempunyai MBA daripada Saïd Business School, Oxford University. Sepanjang kerjayanya, Abdul Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan.
“Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan sejak tahun 2015. Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2000-2010) dan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020 dan 2022-2026),” katanya. – UTUSAN










