Smart Malaysia sedia bersaing dalam pasaran EV negara

Smart Malaysia sedia bersaing dalam pasaran EV negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) melakar kejayaan baharu dalam pembangunan kenderaan tenaga baharu (NEV) setelah melantik Hap Seng Smart Sdn. Bhd. (Hap Seng) sebagai pengedar sah pertama kenderaan smart.

Pelantikan itu membuka peluang kepada PRO-NET selaku pengedar dan pengimport rasmi jenama smart di Malaysia dan Thailand memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) serba baharu berinovasi, smart #1 di Malaysia pada penghujung 2023.

Ia juga merupakan sebahagian daripada strategi smart Malaysia untuk membawa kecemerlangan automotif EV ke pasaran Malaysia yang terdiri daripada dua komponen iaitu pelantikan pengedar premium baharu dan penubuhan Pusat Jenama smart serba baharu atau smart Space.

Pelantikan itu akan meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama smart di Wilayah Tengah. Bilik pameran pertama akan dibuka pada suku keempat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, diikuti Balakong, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, PRO-NET percaya kecemerlangan automotif bukan hanya setakat mencipta kenderaan terbaik malah turut menyediakan kemudahan yang komprehensif dan pengalaman yang unik kepada pelanggan.

Kata beliau, pelantikan itu menandakan kemasukan PRO-NET ke dalam pasaran automotif premium dan juga pasaran EV terbaharu di Malaysia.

“Pasukan kami telah mencapai kemajuan yang menakjubkan sejak kami mula beroperasi pada tahun lalu, dan kami amat yakin bahawa pasaran Malaysia akan teruja untuk menyambut kehadiran smart yang mampu menawarkan pengalaman mobiliti bandar melalui enderaan elektrik premium,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, kerjasama dengan Hap Seng Smart menjadi permulaan kepada kemasukan PRO-NET ke dalam pasaran automotif premium di Malaysia.

Katanya, smart akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi perniagaan yang terbaik di dalam industri untuk memperkenalkan produk, perkhidmatan dan pengalaman jenama premium.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hap Seng Consolidated Berhad dan Ketua Eksekutif Bahagian Automotif Hap Seng, Harald Behrend turut berkongsi keterujaannya terhadap lembaran baharu bersama PRO-NET yang dianggap sejajar dengan matlamat mereka untuk menjadi peneraju kepada industri EV dalam usaha menyokong aspirasi EV negara.

“Jalinan kerjasama antara Kumpulan Hap Seng melalui Hap Seng Smart dan PRO-NET mencerminkan bukan sahaja keyakinan kami terhadap daya tarikan universal jenama smart malah turut memperlihatkan komitmen kami di dalam menyokong agenda mobiliti hijau bagi mencapai matlamat mobiliti rendah karbon di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN