PETALING JAYA: Penyusutan ringgit yang berterusan berbanding mata wang utama dunia dibimbangi akan mendorong kepada peningkatan harga import makanan, seterusnya memberi kesan pada harga makanan dalam pasaran domestik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, penyusutan ringgit daripada RM4.24 pada Januari kepada RM4.49 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini adalah agak tinggi.
Katanya, negara mengimport kira-kira 80 peratus daripada bekalan makan dan nilai ringgit yang lemah menyebabkan aliran mata wang tempatan yang keluar lebih tinggi apabila melakukan transaksi dalam dolar AS.
“Secara tidak langsung, ini akan meningkat import barang makanan seperti beras, bawang dan sayur-sayuran yang diimport dalam dolar AS.
“Perkara ini akan meningkatkan kos kepada rakyat dan akan berlaku inflasi makanan,” katanya di sini semalam.
Bagaimanapun, beliau mengakui penyusutan ringgit memberi kesan positif dan keuntungan kepada eksport negara kerana nilai dolar AS yang diperoleh pengeksport adalah lebih besar.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) melihat cara untuk mengukuhkan semula ringgit.
“Sebelum ini, Kadar Dasar Semalam (OPR) yang bertujuan untuk mengawal inflasi. Tapi bila ringgit menyusut, harga barang yang dimport meningkat.
“Jika trend penyusutan ringgit ini berterusan, harga barang makanan dijangka akan meningkat lagi dalam masa berdekat. Ini akan mengundang kepada inflasi baharu,” ujarnya.
Semalam, ringgit ditutup pada 4.497/4.502 pada pukul 5 petang berbanding dolar AS daripada 4.497/4.504 pada penutupan Isnin.
Selain itu, mata wang tempatan juga ditutup lebih rendah berbanding mata wang utama lain iaitu pound Sterling sebanyak 5.630/5.638 daripada 5.615/5.625, euro pada 4.897/4.904 daripada 4.886/4.895 dan dolar Singapura pada 3.365/3.370 daripada 3.361/3.367 pada penutupan Isnin. – UTUSAN










