Perlu pelan strategik atasi kelemahan ringgit – Penganalisis

Perlu pelan strategik atasi kelemahan ringgit – Penganalisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaaan perlu meneliti dan mempunyai pelan strategik bagi mengelakkan nilai mata wang ringgit turun naik secara drastik.

Semalam, nilai ringgit turun berbanding dolar AS di awal dagangan, melepasi paras 4.6 apabila dolar Amerika Syarikat (AS) terus mengukuh berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah di AS.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.6090/6130 berbanding dolar AS daripada penutupan Rabu pada 4.5920/5950. Ringgit terus susut nilai apabila ditutup pada 4.6105/6240.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) sememangnya diama­nahkan untuk mengawal melalui dasar monetarinya, namun sokongan dan bantuan kerajaan perlu diperkuat untuk memastikan nilai ringgit kukuh dan kembali stabil.

“Komuniti perniagaan dan rakyat amnya pasti mahukan kestabilan supaya mereka mudah berniaga dan berurusan. Sebarang perubahan drastik pasti mahal implikasinya sama ada dari segi kewangan mahupun faktor masa.

“Tidak dinafikan, faktor glo­bal terutama pergolakan geopolitik dan juga perubahan polisi serta dasar kewangan AS amat mempengaruhi Malaysia sebagai negara yang mengamalkan ekonomi terbuka. Sudah pasti faktor-faktor makro tidak dapat dielakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, rizab simpanan BNM meningkat kepada AS$114 bilion baru-baru ini, dengan lebihan dagangan terus dicatatkan untuk 36 bulan berturut-turut.

“Jadi, bagaimana ini dapat membantu mengukuhkan nilai ringgit? Apatah lagi harga komoditi keluaran negara seperti minyak sawit semakin menurun dan tidak membantu dalam pengukuhan nilai ringgit.

“Justeru kerajaan perlu me­ngadakan sesuatu di luar kotak seperti menyandarkan mata wang ringgit kepada komoditi lain. Walaupun BNM mempunyai rizab yang tinggi dengan majoriti simpanan dalam AS$, namun nilai ringgit tetap menurun,” ujarnya.

Aimi Zulhazmi berkata, penurunan eksport negara yang direkodkan pada awal tahun ini menandakan permintaan pasaran global yang menurun dan ini patut diberikan perhatian serius.

“Pada masa ini kerajaan te­lah mengadakan pelbagai kerjasama dengan negara-negara utama dagang lain untuk menggunakan mata wang masing-masing dan bukannya dolar AS, jadi ia perlu diperluas dan diaktifkan lagi.

“Hubungan dagangan dengan negara anggota BRICS antaranya perlu ditingkatkan kerana mereka tidak menggunakan dolar AS dalam urusan jual beli sesama mereka.

“Kerjasama dengan negara-negara Asean dalam mata wang masing-masing perlu dipertingkatkan terutama dengan China,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ringgit boleh ditambat dengan komoditi tetapi bukan mata wang kertas ringgit.

“BNM boleh mewujudkan Central Bank Digital Currency (CBDC), mata wang kripto di bawah teknologi blockchain seperti beberapa negara seperti China.

“Mata wang CBDC ini boleh digunakan di dalam pasaran tempatan dan ditambatkan dengan berat komoditi seperti emas, perak atau minyak sawit,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×