MOF serah kepada BNM cari kaedah kukuh kembali ringgit

MOF serah kepada BNM cari kaedah kukuh kembali ringgit

AHMAD Maslan melancarkan Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kementerian Kewangan Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan menyerahkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mencari remedi untuk mengukuhkan kembali nilai ringgit yang melemah ketika ini.

Timbalan Menteri Kewa­ngan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau yakin BNM mempunyai kaedah penyelesaian yang khusus sekiranya AS belum membuat keputusan terhadap permintaan tersebut.

“Saya serahkan kepada kebijaksanaan Bank Negara yang mempunyai kaedah tertentu dalam bab ini kerana mereka le­bih pakar dan arif tentang perkara tersebut. Kita juga serah kepada BNM untuk mengumumkan jika ada strategi-strategi khusus jangka pendek,” ujarnya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di sini, semalam.

Tambah Ahmad lagi, di­sebalik kelemahan ringgit ketika ini, terdapat beberapa perkara positif yang perlu direbut oleh semua pihak antaranya me­rancakkan sektor eksport serta pertambahan jumlah pelancong asing ke Malaysia.

“Kebaikan kelemahan ringgit yang kita perlu ambil adalah kadar eksport yang akan bertambah dari segi jumlah dan hasil selain jumlah pelancong berkunjung ke Malaysia, namun yang dikhuatirkan adalah kadar import menjadi lebih mahal dan kita harap ‘imported inflation’ ini tidak akan menjejaskan kadar inflasi yang ada.

“Yang tidak baiknya pula dari segi mereka yang berada di luar negara misalnya pelajar akan le­bih terbeban dengan ringgit yang merosot ini,” katanya.

Media semalam melaporkan, ringgit kekal di bawah tekanan ketika hasil perbincangan me­ngenai had siling hutang AS te­rus mencetuskan ketidaktentuan yang ketara.

Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit susut kepada 4.6280/6305 berbanding dolar AS daripada 4.6245/6285 pada akhir urus niaga semalam yang mencatat paras terendah dalam tempoh enam bulan.

Menurut Ahmad, kelemahan kadar ringgit ketika ini berpunca daripada krisis Amerika Syarikat (AS) yang belum mencapai kata sepakat dalam menentukan rundingan had siling hutang negara itu.

Beliau berharap, perkara ber­kenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan ringgit dapat kembali kepada kadar yang lebih munasabah.

“Saya harap fenomena ini adalah bersifat sementara dan ringgit dapat kembali kepada kadar munasabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN