KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad mewarnai industri hiburan tanah air sebagai pelakon dan pengacara, Scha Alyahya kini bersedia mengembangkan kerjayanya dengan menceburi bidang penerbitan menerusi projek filem pertamanya.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, berkata, hasrat untuk bergelar penerbit sudah lama tersemat dalam dirinya dan kini dia mula mengambil langkah awal bagi merealisasikan impian tersebut.
Menurutnya, dia baru selesai mengadakan perbincangan berhubung projek filem berkenaan, namun proses penggambaran masih belum dapat ditentukan kerana sedang mencari pihak yang berminat untuk membiayai penerbitan itu.
“Baru selesai mesyuarat untuk filem seterusnya, tetapi belum tahu bila penggambaran akan dimulakan. Sekarang kami masih mencari pihak yang sudi menjadi penyumbang dana.
“Saya memang merancang untuk menjadi penerbit kerana saya fikir, kalau bukan sekarang bila lagi hendak mencuba. Saya selalu melihat di luar negara ramai pelakon turut bergelar penerbit.
“Di Malaysia, trend itu baru berkembang sejak kebelakangan ini. Semakin ramai yang berani melakukannya seperti Aedy Ashraf. Bidang ini memang ada risikonya, terpulang kepada sama ada kita berani atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman dirinya bersama suami, Awal Ashaari sebagai pengasas bersama platform e-dagang penstriman langsung, JAM, yang berlangsung di ibu negara, semalam.
Mengulas lanjut, Scha berkata, pengalaman bekerja dengan pelbagai syarikat produksi sepanjang pembabitannya dalam industri banyak membuka matanya mengenai keseluruhan proses penerbitan sesebuah karya.
Katanya, tugas sebagai penerbit bukan sekadar menghasilkan naskhah berkualiti, malah memerlukan komitmen tinggi untuk memastikan setiap projek mendapat perhatian termasuk daripada aspek promosi.
“Pengalaman dalam industri membuatkan saya memahami selok-belok kerja di belakang tabir. Sebagai selebriti yang juga penerbit, ada kepuasan apabila dapat mempromosikan karya sendiri.
“Ada pelakon yang mengeluh apabila diminta mempromosikan karya mereka. Saya pula mahu memikul tanggungjawab itu dan melaksanakannya dengan seikhlas hati,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Scha dan Awal secara rasmi diumumkan sebagai pengasas bersama platform e-dagang penstriman langsung, JAM, sekali gus menerajui usaha memperluaskan operasi syarikat itu ke pasaran pengguna berbahasa Melayu menerusi pelancaran JAM Bahasa.










