PETALING JAYA: KPJ Healthcare mencatatkan pendapatan sebanyak RM829.0 juta untuk suku pertama tahun kewangan 2023 (S1 TK2023), peningkatan 29.2 peratus daripada suku yang sama pada tahun kewangan sebelumnya berakhir 31 Mac 2022 (S1 TK2022).
Kenaikan jumlah lawatan pesakit dan Kadar Penggunaan Katil (BOR) menyumbang kepada pencapaian kewangan Kumpulan yang kukuh.
Lawatan pesakit meningkat sebanyak 4.41 peratus atau 821,126 daripada 786,421 dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala BOR berada pada 70 peratus pada S1 TK2023 berbanding 48 peratus pada S1 TK2022.
“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak 26.54 peratus kepada RM190.2 juta pada S1 TK2023 berbanding RM150.3 juta untuk tempoh yang sama pada TK2022, menunjukkan pengurusan operasi Kumpulan yang cekap.
“Prestasi positif Kumpulan juga dilihat dalam Untung Selepas Cukai (PAT), yang mencatatkan lonjakan positif kepada RM56.5 juta daripada RM26.8 juta yang dicatatkan pada S1 TK2022,” katanya dalam kenyataan.
KPJ Healthcare telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 0.65 sen sesaham, dengan jumlah pembayaran agregat RM28.4 juta, yang akan dibayar pada 4 Julai 2023.
Pembayaran dividen ini berikutan pengisytiharan awal dividen interim sebanyak 0.60 sen sesaham, menjadikan jumlah pembayaran dividen sebanyak 1.25 sen sesaham.
Pegawai Pemimpin (OIC) KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad yang menyuarakan keyakinan terhadap prospek Kumpulan untuk tahun ini berkata, berbekalkan momentum pertumbuhan ekonomi yang baik dan para pesakit yang telah memilih untuk kembali dan terus menerima rawatan daripada Kumpulan dan Kumpulan berasa optimistik dengan prestasi tahun ini.
“Kami tetap teguh dalam merealisasikan strategi kami sambil meningkatkan komitmen untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat Malaysia.
“Fokus kami terhadap menambah baik pengalaman pesakit di hospital kami dan penjagaan khusus telah dibuktikan melalui pelancaran Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2), yang telah menggabungkan precision medicine, diagnostik berlandaskan teknologi, dan penyampaian penjagaan pesakit khusus individu,” katanya. – UTUSAN









