Kenaikan OPR tidak jejas pertumbuhan KDNK negara - Utusan Malaysia

Kenaikan OPR tidak jejas pertumbuhan KDNK negara

KDNK setahun penuh negara dijangka lebih rendah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) selari dengan situasi ekonomi yang masih kukuh dan berdaya tahan selain dijangka tidak memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, suasana ekonomi yang kukuh ketika ini tidak akan kekal ekoran dunia sedang memperlahankan aktiviti ekonomi disamping tindakan bank pusat negara-negara lain yang menaikan OPR bagi memperlahankan pinjaman.

“Banyak bank pusat menaikkan OPR untuk memperlahankan pinjaman tetapi kita belum lagi, jadi BNM khuatir apabila orang ramai berterusan mengambil hutang dan kesan ekonomi perlahan sampai ke Malaysia mereka akan terperangkap.

“Justeru, BNM sedang cuba memperlahankan aktiviti meminjam dengan menaikkan OPR. Keputusan itu bukanlah semata untuk rakyat kurang berbelanja tetapi lebih kepada mengelak rakyat ambil hutang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Razman, negara hanya perlu mengekalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua dan seterusnya pada nilai 5.6 peratus atau lebih untuk mencapai sasaran pertumbuhan 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini.

Ujarnya, KDNK suku pertama 2023 yang direkodkan sebanyak 5.6 peratus menjadi petunjuk Malaysia mampu mencapai sasaran ditetapkan.

“Saya lihat bila suku pertama mencatat 5.6 peratus, nilai KDNK itu lebih kurang RM380 bilion, jadi bila suku kedua dan ketiga merekodkan nilai sama kita masih mampu mencapai sasaran empat ke lima peratus itu.

“Cumanya, kita perlu kekalkan nilai KDNK selepas ini selain potensi lain seperti harga minyak yang masih kekal tinggi atas AS$70 tahun ini selain permintaan kukuh barangan elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKMM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob pula menyifatkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 5.6 peratus bagi suku pertama 2023 amat memberangsangkan berbanding 5.0 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

“Prestasi memberangsangkan itu boleh diteruskan pada suku kedua, ketiga dan keempat tahun ini dan seterusnya mencapai sasaran 4.0 hingga 5.0 peratus KDNK pada 2023.

“Berdasarkan prestasi suku pertama 2023 yang baik, saya berpandangan trend ini boleh diteruskan berdasarkan maklum balas yang diperoleh daripada pelabur asing semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara,” katanya.

Jumaat lalu, BNM mengumumkan ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif apabila Kadar Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 didorong pertumbuhan ekonomi negara yang positif itu didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.

Beliau berkata, meskipun menghadapi rintangan global, ekonomi Malaysia diunjur berkembang sebanyak 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi tahun 2023 didorong permintaan dalam negeri yang kukuh. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya