Selepas mencatatkan fenomena luar biasa menerusi lagu ‘Rindu Hatiku Rindu’ yang meraih lebih 16 juta tontonan di YouTube, penyanyi cilik berbakat besar, Tantari, kembali dengan single terbaharu berjudul ‘1 Cinta 1 Rindu’.
Karya terbitan Nova Music Malaysia ini merupakan kesinambungan kepada perjalanan seni beliau, sekali gus memperlihatkan kematangan vokal Tantari dalam menyampaikan naskhah yang lebih emosional.
Lagu ‘1 Cinta 1 Rindu’ mendapat sentuhan magis daripada komposer tersohor, Eddie Hamid, manakala bait liriknya ditulis bersama oleh Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha yang mengangkat tema kisah cinta tidak kesampaian dalam realiti zaman moden.
Menurut Eddie Hamid, karya ini dihasilkan berdasarkan gabungan kisah benar yang berlaku di sekelilingnya, termasuk pengalaman peribadi yang disuntik bagi memastikan penyampaian itu kedengaran jujur dan tulus.
Bagaimanapun, Tantari mengakui proses rakaman lagu ini memberikan cabaran yang sangat besar buat dirinya, terutama dalam memastikan kawalan emosi berada pada tahap yang seimbang.

“Cabaran paling payah adalah untuk menjiwai rasa rindu dan kesedihan itu. Saya perlu berhati-hati agar tidak menyampaikannya secara berlebihan (over-emotional), namun dalam masa yang sama, vokal saya harus dijiwai sepenuhnya,” katanya.
Bagi memastikan kualiti optimum, Tantari mengambil masa selama beberapa minggu untuk proses penjiwaan lirik sebelum melangkah ke studio bagi sesi rakaman vokal secara berasingan.
Lagu ‘1 Cinta 1 Rindu’ kini sudah boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik digital utama bermula 22 Mei 2026, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.










