PETALING JAYA: AmBank Islamic Berhad (AmBank Islamic) merekodkan lebih 290,000 pemegang aktif Akaun Simpanan-i AmWafeeq (AmWafeeq-i) sejak diperkenalkan pada 2019 sehingga kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, terdapat lebih 2.5 juta pelanggan AmBank buat masa ini dan daripada jumlah itu kira-kira 10 peratus merupakan pelanggan AmWafeeq-i.
Menurut beliau, kejayaan AmBank menganjurkan dua siri Kempen AmRewards dengan pelbagai tawaran hadiah menarik sebelum ini turut menyumbang kepada pertambahan pemegang akaun AmWafeeq-i.
“AmBank mempunyai kira-kira 2.5 juta pelanggan dan AmWafeeq-i sendiri mempunyai lebih 290,000 pelanggan aktif dalam tempoh tiga tahun sahaja dan jumlah ini bukanlah kecil.
“Bayangkan dalam tempoh satu tahun sahaja melalui kempen Am Rewards 2.0 kita memperoleh 100,000 pelanggan baharu yang membuka akaun AmWafeeq-i dan kita melihat keperluan untuk meneruskannya disamping menghargai pelanggan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas ditemui pada majlis penyampaian hadiah kempen AmRewards 2.0 yang diadakan di Pusat Porsche Ara Damansara, di sini.
Sulaiman berkata, bagi menggalakkan orang ramai membuka akaun simpanan AmWafeeq-i, AmBank telah melancarkan kempen Am Up Your Chances dengan jumlah hadiah dan ganjaran bernilai RM2.7 juta untuk dimenangi bermula 1 April 2023 sehingga 31 Mac 2024.
Katanya, ia termasuk kenderaan elektrik Mercedes-Benz model EQS dan EQE yang masing-masing berharga RM720,000 dan RM450,000 setiap satu serta dua unit kenderaan Mercedes-Benz EQA yang bernilai RM290,000 sebuah.
“Memandangkan sambutan menggalakkan yang diterima menerusi kempen AmRewards sebelum ini, kami amat berbesar hati untuk terus memberi ganjaran kepada pelanggan kami melalui Kempen Am Up Your Chances bagi menggalakkan penyimpanan dalam akaun simpanan AmWafeeq-i.
“Ini membuatkan kami terus bermotivasi dalam menambah baik produk dan perkhidmatan kami dan pada masa yang sama dapat menawarkan ganjaran menarik kepada pelanggan setia yang menyimpan dengan kami.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang kempen AmRewards 2.0 dan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan kepada AmBank Islamic sepanjang kempen ini,” katanya.
Sementara itu, pemegang akaun dari Cawangan Skudai, Chew Ley Yiau diumumkan sebagai pemenang hadiah utama AmRewards 2.0 dan membawa pulang sebuah Porsche Cayenne serba baharu.
Manakala, Yik Choon Chor dari Seri Kembangan dan Heng Geok Siam dari Skudai memenangi hadiah kedua, membawa pulang baucar Hour Glass bernilai RM100,000 setiap satu. – UTUSAN










