PETALING JAYA: Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Baharu berkuat kuasa semalam (23 Mei 2023).
MDV merupakan anak syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dan agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Wong Chen menggantikan Khairul Azwan Harun yang tempoh perkhidmatannya berakhir pada 31 Disember lalu.
Menurut MDV, Wong Chen mempunyai pengalaman lebih 22 tahun sebagai bekas peguam korporat dengan pengkhususan dalam bidang perundangan Teknologi Maklumat dan penggabungan & pengambilalihan (mergers & acquisitions).
Beliau mendapat pendidikan di United World College of Southeast Asia, Singapura dan kemudian melanjutkan pelajaran serta memperoleh ijazah perundangan dari University of Warwick, UK.
“Selain daripada mempunyai minat yang mendalam dalam hal ehwal berkaitan perubahan iklim dan hak asasi manusia, beliau turut mempunyai kepakaran dalam bidang fiskal, ekonomi, perdagangan antarabangsa dan penggubalan polisi,” katanya dalam kenyataan.
Jelas MDV, Wong Chen ketika ini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Subang dan telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Dan Perdagangan Antarabangsa serta Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM)
bagi Pendanaan Politik.
Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan & Ekonomi dan pernah berkhidmat sebagai ahli dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selama dua tahun.
“Selain itu, beliau turut menganggotai pertubuhan antarabangsa termasuk menjadi ahli bagi HighLevel Working Group on Science & Technology of the Inter-Parliamentary Union (IPU), mewakili Rantau Asia Pasifik, dan bergiat aktif sebagai ahli kanan pertubuhan ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR).
“Wong Chen juga merupakan salah seorang daripada pengasas pertubuhan Southeast Asian Community group (SEAC).
“Dengan pengalaman dan kepakaran yang luas, MDV yakin bahawa di bawah kepimpinan Wong Chen, MDV mampu untuk terus meningkatkan prestasinya dalam membangunkan syarikat-syarikat berasaskan teknologi serta syarikat-syarikat pemula teknologi di Malaysia dan sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan negara,” katanya.
MDV turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Khairul Azwan atas segala jasa, bimbingan dan sumbangan yang diberikan sepanjang beliau berkhidmat di MDV selama tiga tahun.
MDV telah ditubuhkan pada 2002 sebagai anak syarikat kepada MKD dengan objektif untuk menyediakan kemudahan pembiayaan fleksibel dan inovatif bagi membangunkan sektor ICT yang telah dikenal pasti oleh kerajaan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan negara.
Sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu, selaras dengan perkembangan dan kemajuan ekosistem teknologi negara, MDV telah melaksanakan transformasi secara berterusan dalam segenap aspek perniagaan dan operasinya, serta mencatatkan perkembangan yang konsisten dalam menjalankan peranannya untuk menyokong, memupuk dan membimbing syarikat-syarikat berasaskan teknologi dan syarikat-syarikat pemula teknologi di Malaysia dalam mencapai pertumbuhan.- UTUSAN










