PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan hab pembayaran elektronik baharunya yang juga dikenali sebagai e-PATH.
Menurut kenyataannya, e-PATH menyediakan cara yang lebih lancar dan selamat bagi peserta pasaran dan orang ramai membuat pembayaran dalam talian kepada SC.
Katanya, e-PATH merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi digital SC dan membolehkan proses pembayaran dalam talian yang lebih mudah untuk pelbagai yuran kawal selia dan pendaftaran yang berkaitan dengan kebanyakan penyerahan yang dibuat kepada SC.
“Ini termasuk yuran untuk permohonan bagi tawaran awam permulaan, pemindahan penyenaraian serta pengambilalihan dan penggabungan.
“e-PATH, yang akan dilancarkan secara rasmi pada 1 Mei 2023, akan membantu menambahbaik pengalaman pengguna secara keseluruhan.
“Ini melalui pemprosesan pembayaran yang lebih cekap dan penyepaduan dengan pelbagai kaedah pembayaran termasuk kad kredit dan debit, perbankan dalam talian, dan akses kepada pengesanan status pembayaran secara ‘realtime’,” katanya. – UTUSAN










