PETALING JAYA: MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ untuk Ranhill Utilities Berhad (Ranhill Utilities) pada harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM0.70 dengan kecenderungan menaik.
Firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya berkata, kejayaan Ranhill Worley Sdn. Bhd. (Ranhill Worley), anak syarikat Ranhill Utilities memperoleh kontrak daripada anak syarikat milik penuh Saipem S.p.A. dari Itali merupakan kemenangan besar buat syarikat berkenaan.
Kontrak yang diperoleh Ranhill Worley melibatkan kerja reka bentuk kejuruteraan terperinci (DED) bagi dua kompleks pemampatan berkaitan Projek Kompleks Pemampatan Luar Pesisir Pengeluaran Mampan North Field (NFPS)
Menurut MIDF Research, kontrak terbaharu itu hampir menggandakan buku pesanan semasa Ranhill Worley sebanyak RM265 juta dan mengembangkan buku pesanan bahagian perkhidmatan keseluruhan syarikat tersebut sebanyak 24 peratus kepada RM1.07 bilion.
Katanya, buku pesanan tertunggak kini bersamaan dengan 3.7 kali ganda hasil tahunan bahagian perkhidmatan, manakala buku tender berjumlah RM1.5 bilion.
“Kami menganggarkan sumbangan projek DED ini hampir sama untuk tahun kewangan 2023 (TK2023) dan TK2024 berdasarkan margin keuntungan selepas cukai (PAT) konservatif sebanyak 10 peratus dan berdasarkan 51 peratus kepentingan Ranhill dalam Ranhill Worley.
“Kami juga menganggarkan sumbangan pendapatan tahunan daripada projek ini bagi tempoh dua tahun akan datang sebanyak RM5 juta hingga RM6 juta yang menyumbang 11 peratus dan 13 peratus daripada TK2023 dan TK2024,” katanya.
Semalam, Ranhill dalam satu kenyataan berkata, kontrak bertarikh 14 April 2023 bernilai RM210 juta dan kerja reka bentuk kejuruteraan itu dijangka siap menjelang suku ketiga 2024.
Katanya, Qatar North Field adalah lapangan gas asli terbesar di dunia dan kontrak NFPS yang dianugerahkan kepada Saipem merangkumi kejuruteraan, pemerolehan, fabrikasi dan pemasangan dua kompleks pemampatan gas asli luar pesisir.
Ia disasarkan untuk mengekalkan pengeluaran di North Field, termasuk dua pelantar pemampatan keluli tetap terbesar yang pernah dibina, pelantar suar, jambatan penghubung, kuarters dan modul antara muka.
“Penganugerahan projek mega ini adalah bukti kepada kepercayaan pelanggan terhadap Ranhill Worley, pejabat Kuala Lumpur sebagai salah satu pusat kecemerlangan global Worley untuk melaksanakan projek-projek mega luar pesisir,” katanya.
Sementara itu, Saham Ranhill Utilities meningkat lebih sembilan peratus kepada paras tertinggi 17 bulan sebanyak 64 sen semasa sesi dagangan pagi semalam.
Pada pukul 11 pagi, harga saham Ranhill mengurangkan sedikit keuntungan kepada 63.5 sen, masih meningkat lima sen atau 8.55 peratus dengan kaunter itu menyaksikan 7.94 juta saham diniagakan.
Sehingga kini ia telah meningkat 39.56 peratus dan pada 63.5 sen dengan syarikat itu mempunyai permodalan pasaran RM822.91 juta di mana saham terakhir yang didagangkan pada 64 sen adalah pada 28 Oktober 2021. – UTUSAN










