PETALING JAYA: CGS-CIMB Securities mengekalkan pandangan ‘kurang wajar’ terhadap sektor sarung tangan Malaysia di tengah-tengah keyakinan pasaran terhadap potensi pemulihan dalam harga jualan purata (ASP) mulai suku kedua 2023 dan seterusnya.
Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan purata harga jualan (ASP) untuk sarung tangan getah tidak mencukupi untuk menyerap kenaikan kos semasa.
“Pada pandangan kami, pengeluar sarung tangan hanya akan meraih keputusan positif sekiranya kadar penggunaan bertambah baik antara 55 peratus hingga 60 peratus disokong peningkatan tempahan daripada pembeli selain ASP menjadi antara AS$24 (RM105.79) hingga AS$25 (RM110.20) untuk setiap 1,000 keping.
“Selain itu, keadaan akan menjadi lebih baik sekiranya kos semasa tidak bertambah. Sebagai tambahan, kami percaya pengeluar sarung tangan hanya akan kembali ke tahap sebelum pandemik pada 2025 paling awal.
“Kami menjangka pembuat sarung tangan di bawah perlindungan kami akan kekal mengalami kerugian sehingga suku pertama 2024 walaupun kerugian mengecil pada setiap suku tahun ke hadapan,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma itu menganggarkan, kadar penggunaan sektor sarung tangan Malaysia kekal rendah antara 35 peratus hingga 40 peratus.
Katanya, ia disebabkan lebihan bekalan dalam sektor itu dengan pembeli lebih suka mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk penyimpanan semula inventori
“Memandangkan kenaikan ASP, kami berpandangan itu akan menggalakkan lagi pembeli sarung tangan untuk menahan pembelian dalam tempo terdekat memandangkan jumlah sarung tangan yang banyak di pasaran.
“Kami menjangkakan ia akan mengurangkan kadar penggunaan sektor sarung tangan Malaysia, yang berkemungkinan kekal pada paras semasa (ika tidak lebih rendah) sehingga suku keempat 2023(pembelian yang lebih agresif oleh pelanggan selepas kehabisan inventori),” katanya.
Firma itu mengekalkan saranan ‘underweight’ untuk sektor it dan berkata kenaikan harga saham baru-baru ini memberi peluang yang baik kepada pelabur untuk mengambil keuntungan kerana asas sektor kekal lemah pada ketika ini dan profil risiko-ganjaran sektor it kekal tidak menggalakkan. – UTUSAN










