PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan dalam proses menjual satu lagi aset peruncitannya di Lembah Klang yang sebelum ini diduduki oleh rangkaian pasar raya besar Giant.
Memetik laporan The Edge, aset berkenaan dikatakan dijual kepada NSK Trading Sdn. Bhd. dengan anggaran RM60 juta dan menandakan penjualan pasar raya Giant ketujuh sejak dua bulan lalu, yang tertangguh sebelum ini.
Menurut portal berita berkenaan memetik sumber, penjualan pasar raya kelapan Giant Hypermarket di Kelana Jaya pula akan berlaku, walaupun butirannya samar pada masa ini.
Bulan lalu, KWSP menjual portfolio enam aset runcit yang terletak di Lembah Klang dan Johor, bernilai RM520 juta kepada Sunway Real Estate Investment Trust.

Katanya, wakil NSK Trading ketika dihubungi The Edge enggan memberi sebarang ulasan manakala KWSP dalam maklum balas e-mel, memberitahu tidak dapat mengulas mengenai perkara berkenaan buat masa ini selepas pertimbangan wajar.
Semakan dalam talian mendedahkan, NSK mula beroperasi di lokasi baharu pada 25 Mac 2023 dan kedai itu telah beroperasi sebagai cawangan Giant sehingga Ogos tahun lepas.
Difahamkan, NSK sedang memajak premis tersebut sementara menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan dan perjanjian itu selesai.
Sumber industri menjangkakan bahawa KWSP berkemungkinan akan melupuskan “beberapa aset lain” menjelang akhir tahun tetapi menambah bahawa kumpulan wang simpanan persaraan juga sedang mencari aset untuk dibeli. – UTUSAN










