Kumpulan UMW catat jualan 41,315 unit pada Mac - Utusan Malaysia

Kumpulan UMW catat jualan 41,315 unit pada Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan automotif Kumpulan UMW meningkat 17.2 peratus pada Mac 2023 dengan catatan jualan sebanyak 41,315 unit berbanding 35,246 unit yang didaftarkan pada Mac tahun lalu.

Kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua terus memenuhi tempahan tertunggak yang menggalakkan.

UMWT mencatatkan jualan sebanyak 9,136 unit pada bulan Mac tahun ini, iaitu 7.6 peratus lebih tinggi daripada 8,487 unit yang direkodkan pada Mac 2022.

Bagi suku pertama 2023, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 25,219 unit, jualan suku pertamanya yang tertinggi dengan peningkatan sebanyak 12.3 peratus berbanding 22,447 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lalu.

UMWT menjangkakan permintaan dan jualan akan berterusan sepanjang tahun, disokong oleh pengenalan model baharu dan kemas kini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya berbesar hati dengan jualan kukuh yang didaftarkan oleh UMWT dan rekod jualan yang direkodkan oleh Perodua pada Mac 2023.

“Kumpulan akan terus memperkenalkan model baharu yang menarik yang setara dengan harga kompetitif untuk keperluan pelanggannya.

“Berdasarkan jualan yang menggalakkan dan permintaan kukuh untuk model yang baru dilancarkan, kami positif bahawa industri automotif akan terus menunjukkan prestasi yang baik pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada 20 Mac 2023, UMWT melancarkan Toyota Vios serba baharu yang menawarkan prestasi lebih baik, pecutan lebih pantas dan teknologi baharu sekali gus menjadikannya pilihan yang lebih menarik untuk pelanggan yang menginginkan kereta yang konsisten, cekap dan mampu milik.

Sedan subkompak yang popular dengan pemasangan tempatan itu ditawarkan dalam dua varian dan berharga dari RM89,600 dan RM95,500.

Disokong oleh rantaian bekalan yang bertambah baik dan jumlah pengeluaran yang meningkat, Perodua mencapai rekod jualan bulanan tertinggi dengan catatan jualan sebanyak 32,179 unit, 20.3 peratus lebih daripada 26,759 unit yang didaftarkan pada Mac 2022.

Perodua juga mencapai pengeluaran bulanan tertinggi sejak penubuhan dengan 33,666 unit pada Mac 2023.

Bagi suku pertama 2023, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 78,564 unit, 27.5 peratus lebih tinggi daripada 61,624 unit yang dicatatkan dalam tempoh sama 2022.

Dengan itu, Perodua telah mencapai sebanyak 25 peratus daripada sasaran jualannya untuk 2023 iaitu sebanyak 314,000 unit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN