PETALING JAYA: Ketika negara memasuki fasa endemik, pusat beli-belah the Curve mencatatkan pemulihan kukuh pada 2022 dengan 40 pajakan baharu dan kadar penghunian sebanyak 92 peratus.
Ia menjadikan jumlah penyewa kini sebanyak 248 berbanding 228 penyewa setahun lalu.
Momentum positif tersebut didorong inisiatif transformasi the Curve untuk menyusun semula strategi dan meningkatkan campuran penyewanya dengan pelbagai jenama dan kegemaran tempatan.
Ia termasuk akses kepada produk Korea, K Plus Food Market serta kedai makanan dan minuman (F&B) antaranya Me’nate Steak House, Padi House, Tasty Chapathi dan Congkak.

Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Harta dan Pelaburan Boustead Properties Berhad, Jazmi Kamarudin berkata, walaupun kos sara hidup semakin meningkat, ramai rakyat Malaysia masih tertarik untuk makan di luar.
“Segmen F&B di the Curve menawarkan kepelbagaian serta kualiti yang menjadi semakin penting kerana orang ramai sentiasa mencari nilai dan cara menghubungkan keluarga dan rakan-rakan.
“Kepelbagaian ini menggalakkan kami memberi lebih tumpuan kepada memanfaatkan segmen F&B sebagai bahagian penting dalam mengekalkan usaha menyusun semula strategi kami,” katanya dalam kenyataan.
Selain barisan baharu penyewa, jenama antarabangsa seperti Forever 21, Football Republic dan Spy Game oleh Superdough telah menamatkan penyewaan mereka dengan pusat beli-belah tersebut.
Jazmi memaklumkan, campuran penyewa yang dipertingkatkan di the Curve telah menarik perhatian pembeli dan memacu purata jumlah pelanggan bulanannya kepada 900,000 tahun lepas.
“Selain daripada penyewa baharu, sebanyak 12 penyewa sedia ada di the Curve juga sedang menaik taraf dan membaik pulih premis mereka dalam usaha untuk mengembangkan jejak mereka.
“Kami berada di landasan yang betul kerana kami berjaya mencatatkan purata satu juta pengunjung dalam dua bulan pertama 2023,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya turut optimis tentang prospek the Curve dan akan memuktamadkan rancangan untuk pembangunan semula eCurve yang pastinya akan meningkatkan trafik ke Mutiara Damansara sebaik sahaja siap. – UTUSAN










