Nilai pemimpin pasca pilihan raya

Nilai pemimpin pasca pilihan raya

RAKYAT akan menilai sejauh mana keupayaan pemimpin dalam memahami dan berusaha untuk menyelesaikan persoalan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS keputusan pilihan raya diumumkan, poster kempen mula diturunkan dan bendera parti kembali disimpan. Namun, dari sudut komunikasi politik, ketika itulah bermulanya fasa penting dalam membina hubungan antara pemimpin yang menerima mandat dengan rakyat yang memberikan sokongan.

Hubungan antara pemimpin dan rakyat tidak seharusnya terhenti selepas proses pengundian selesai. Sebaliknya, perlu diperkukuh melalui komunikasi yang strategik, telus dan berkesan. Rakyat bukan sahaja menilai pemimpin ketika tempoh berkempen, malah terus memerhati prestasi mereka selepas diberi amanah untuk mentadbir.

Penilaian rakyat bukan sekadar berdasarkan janji yang dilafazkan tetapi sejauh mana pemimpin berusaha melaksanakan tanggungjawab serta menyelesaikan isu yang dihadapi masyarakat. Mandat yang diberikan melalui pilihan raya bukan lesen untuk menjauhkan diri daripada rakyat, sebaliknya amanah yang menuntut kehadiran berterusan dan kesediaan mendengar suara mereka.

Komunikasi yang berkesan perlu berlaku secara konsisten, bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya. Rakyat tidak mahu dilayan sebagai kelompok yang hanya dicari apabila sokongan diperlukan. Sebaliknya, mereka mahukan hubungan dua hala yang membolehkan pandangan, kebimbangan dan keperluan mereka difahami dengan lebih dekat.

Dalam hal ini, pendekatan komunikasi pemimpin perlu berteraskan semangat perkhidmatan, bukannya sekadar memperkukuh pengaruh atau kedudukan politik.

Rakyat lebih berminat melihat bagaimana sesuatu isu dapat diselesaikan, kehidupan mereka ditambah baik serta kebajikan mereka diberikan perhatian.

Perkembangan teknologi turut mengubah cara pemimpin berhubung dengan masyarakat. Platform seperti Facebook dan TikTok kini menjadi saluran penting untuk menyampaikan maklumat, menerima pandangan serta memahami denyut nadi rakyat. Namun, keberkesanan komunikasi digital bukan bergantung kepada jumlah hantaran atau bilangan pengikut semata-mata.

Yang lebih penting ialah kualiti interaksi yang dibina. Pemimpin perlu memastikan komunikasi dalam talian bukan sekadar penyampaian satu hala tetapi ruang untuk mendengar, menjawab persoalan dan memberikan maklum balas yang meyakinkan.

Rakyat akan menilai kemampuan pemimpin melalui kesediaan mereka berinteraksi secara terbuka, menggunakan bahasa yang mudah difahami serta menunjukkan tindakan terhadap isu yang dibangkitkan.

Kepercayaan rakyat tidak terbina melalui slogan semata-mata, sebaliknya melalui pengalaman mereka melihat bagaimana seseorang pemimpin menjalankan amanah.

Komunikasi yang baik mampu menjadi jambatan yang menghubungkan pemimpin dengan masyarakat, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap kepimpinan yang diterajui.

Pasca pilihan raya bukanlah penamat kepada proses komunikasi tetapi permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar. Memenangi pilihan raya mungkin membawa seseorang ke tampuk kepimpinan, namun mengekalkan kepercayaan rakyat memerlukan usaha berterusan, komunikasi yang ikhlas serta tindakan yang membuktikan komitmen terhadap kepentingan awam.

Akhirnya, ukuran sebenar seorang pemimpin bukan hanya terletak pada kejayaan memperoleh undi tetapi sejauh mana mereka mampu memahami aspirasi rakyat dan bekerja untuk memenuhi harapan yang telah diberikan. –UTUSAN

DR. NADIAH ABDUL AZIZ
Tunku Abdul Rahman University
of Management and Technology

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN