SHAH ALAM: Syarikat gedung tekstil terkenal, Jakel menyasarkan jualan pada tahun ini berjumlah RM1.3 bilion.
Pengarah Urusan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel optimis dapat memperoleh jumlah itu berdasarkan jualan produknya yang memberangsangkan ketika ini.
“Pada 2017, 2018 dan 2019, Jakel berjaya memperoleh jualan RM1.4 bilion namun pada 2020, jualan kami jatuh 50 peratus kepada RM700 juta.
“Dengan sektor perniagaan yang semakin menggalakkan dalam negara, Jakel sasar untuk dapat kembali jumlah jualan seperti yang pernah diperoleh sebelum ini,” katanya dalam majlis pelancaran gedung tekstil baharu Jakel di Seksyen 7, di sini, semalam.
Ditanya mengenai jualan sepanjang Ramadan kali ini, Mohamed Faroz berkata, syarikatnya mengimport tiga juta helai pakaian hari raya untuk jualan Aidilfitri tahun ini.
Secara purata menurutnya, Jakel berjaya menjual di antara 50,000 hingga 70,000 helai pakaian di 25 cawangannya di seluruh negara.
“Setakat semalam (Selasa), kami berjaya menjual 40 peratus pakaian raya.
“Saya sasarkan pakaian raya ini dapat dijual lebih 90 peratus,” katanya.
Selain pakaian raya biasa, Mohamed Faroz memaklumkan bahawa Baju Rahmah Raya yang diperkenalkan Jakel turut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Walaupun harga Baju Rahmah Raya dijual serendah RM148, kualiti pakaian raya itu tetap sama seperti baju Melayu dan kurung yang dijual pada harga lebih tinggi. – UTUSAN










