MBSA sedia bantu Jakel beroperasi pada tapak sementara - Utusan Malaysia

MBSA sedia bantu Jakel beroperasi pada tapak sementara

MBSA Jakel
PASUKAN bomba menjalankan penyiasatan punca kebakaran gedung tekstil terkenal, Jakel dekat cawangannya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersedia menimbang permohonan daripada Syarikat Jakel Trading Sdn. Bhd. (Jakel) untuk beroperasi pada tapak sementara dan di bawah khemah besar untuk memenuhi keperluan persekolahan dan musim perayaan tahun ini.

Menurut Datuk Bandar Shah Alam, Dr. Nor Fuad Abdul Hamid, cawangan Jakel di Shah Alam sebelum ini pernah beroperasi dekat sebidang tanah milik syarikat itu berhampiran Hospital Shah Alam seperti dibuat sebelum ini terutama menjelang musim perayaan.

“Kelmarin saya berada di Wisma Jakel Shah Alam yang terbakar dan bercakap dengan pihak Jakel yang ingin mencari tapak baru (untuk beroperasi semula). Tapak tersebut milik mereka sendiri tidak jauh dari hospital.

“Jakel ada bercakap kepada saya secara tidak rasmi untuk membolehkan mereka beroperasi semula,” katanya beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah 23 Ahli MBSA Penggal 2023, semalam.

Terdahulu, lebih RM100 juta anggaran kerugian awal dilaporkan apabila sebuah cawangan gedung kain dan pakaian Wisma Jakel di sini yang mampu mengaut keuntungan sehingga RM300 juta musnah dalam kejadian kebakaran hujung minggu lalu.

Bangunan lot kedai lima dan tiga tingkat ikonik di persimpangan Persiaran Kayangan dan Persiaran Permai berdekatan pintu belakang kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dijilat api sebelum sepasukan bomba seramai 38 orang bersama sembilan jentera dari tujuh balai dikerahkan ke sana.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, hampir RM100 juta kerugian bagi bangunan lot kedai tiga tingkat yang musnah dalam kebakaran tersebut sebelum mengambil kira kain dan pakaian hangus.

Dalam pada itu, Nor Fuad menambah, Jakel memainkan peranan yang signifikan kepada ekonomi dan penduduk setempat apabila golongan ibu bapa mendapatkan pakaian sekolah dan baju raya sejak syarikat tersebut beroperasi di bandar raya ini.

“MBSA amat memahami keperluan ibu bapa untuk mendapatkan  pakaian sekolah dan untuk musim perayaan. Kita tunggulah permohonan rasmi pihak Jakel untuk tujuan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya