PETALING JAYA: Coca-Cola Malaysia telah memperbaharui kerjasamanya dengan rangkaian pawagam terkemuka, Golden Screen Cinemas (GSC) menerusi perjanjian konsesi lanjutan, sekaligus mengukuhkan lagi hubungan perniagaan strategik yang terjalin sejak tiga dekad.
Memorandum persefahaman (MoU) itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Pembotolan untuk Singapura, Malaysia, dan Brunei Coca-Cola, Louis Balat Joseph serta Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas, Koh
Mei Lee, dalam satu majlis di Aurum Theatre dekat sini.
Louis Balat berkata, pihaknya telah bekerjasama selama 36 tahun dan perjanjian yang diperbaharui sehingga Mac 2026.
“Tempoh masa kontrak itu sekadar formaliti dan kami di sini adalah untuk memberi komitmen kepada pengguna.
“Kami amat berbangga dapat meneruskan kerjasama strategik dengan GSC dan berkongsi ‘keajaiban’ bersama pengunjung pawagam melalui rangkaian minuman kami yang menyegarkan, selaras dengan falsafah Real Magic kami.
“Kerjasama ini juga melambangkan kepercayaan dan komitmen kukuh di antara Coca-Cola dan GSC,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Para peminat filem boleh menikmati bukan sahaja Coke yang sejuk, malah jenama popular lain dalam portfolio Coca-Cola seperti Sprite, Fanta, A&W, Ayataka, rangkaian Heaven & Earth dan minuman buah-buahan yang menyegarkan; Minute Maid Pulpy Orange.
Peminat filem juga boleh memilih produk yang disediakan mengikut pesanan, seperti set kombo di kaunter atau set e-kombo pra-beli melalui Laman Web GSC atau Aplikasi Mudah Alih GSC.
Sementara itu, Koh Mei berkata, kerjasama GSC dan Coca Cola Malaysia berjaya selama ini kerana mempunyai nilai jenama yang sama iaitu mengutamakan pengalaman pelanggan dengan menawarkan produk baharu yang mengujakan.
“Bagi GSC, kami dalam perancangan untuk membuka 12 hingga 14 tapak baharu dan merancang membuka tiga panggung wayang setiap tahun,” katanya. – UTUSAN










