PETALING JAYA: Bursa Malaysia menandatangani Memorandum Kerjasama (MOC) dengan Petronas untuk membantu memacu penerimaan dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) melalui Platform Kelestarian Berpusat Bursa Malaysia (Platform).
Dengan kerjasama London Stock Exchange Group (LSEG), Bursa Malaysia sedang membangun dan menguji Platform yang membenarkan syarikat korporat dan pembekal tersenarai atau tidak tersenarai mereka di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa untuk mengira kesan pelepasan karbon dan mendedahkan piawaian data ESG biasa.
Tujuan Platform itu untuk memudahkan syarikat dalam pendedahan kemampanan mereka dan menggalakkan pengurusan pelepasan karbon yang berkesan, termasuk pelepasan karbon rantaian bekalan sambil memudahkan penyahkarbonan melalui produk dan perkhidmatan pembiayaan hijau bank.
Susulan itu, Petronas akan menyertai Early Adopter Programme (EAP) Platform tersebut untuk menyokong pelaporan dan pendedahan ESG yang standard di samping meneroka penciptaan nilai selanjutnya di seluruh rantaian bekalannya.
Penyertaan dalam Platform dijangka memperkukuh lagi penerimaan dalam kalangan syarikat Malaysia melalui penambahbaikan ketelusan dan kebolehoperasian data ESG.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, Platform digunakan untuk kerjasama itu bertujuan memudahkan usaha penyahkarbonan Petronas merentasi rantaian bekalannya.
“Kami menggalakkan peneraju industri lain, terutamanya mereka yang mempunyai kepentingan penting dalam rantaian bekalan global untuk turut memanfaatkan saluran ini dan menerajui perubahan dalam bidang masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, pihaknya percaya peralihan tenaga yang bertanggungjawab hanya boleh dicapai apabila pihak berkepentingan dalam semua sektor bekerjasama.
“Secara kritis, perkongsian dengan entiti yang berpandangan ke hadapan seperti Bursa Malaysia akan membuka jalan yang berharga untuk seluruh sektor OGSE untuk terus menerima dan mengukuhkan pematuhan ESG bagi penambahbaikan operasi.
“Petronas berazam untuk terus menyokong tadbir urus yang baik dan ketelusan dalam kalangan pemain minyak dan gas ke arah menjadi rakan kongsi ESG yang dipercayai untuk menyampaikan tenaga secara bertanggungjawab dalam keadaan selamat, mampu milik dan mampan,” ujarnya. – UTUSAN










