Syarikat pemula diterajui wanita terima CV lebih kecil - Utusan Malaysia

Syarikat pemula diterajui wanita terima CV lebih kecil

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Venture Capital Management Berhad (Mavcap), Shahril Anas Hasan Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pemula yang diterajui wanita di Malaysia menerima bahagian pembiayaan modal teroka (CV) yang jauh lebih kecil berbanding rakan sejawat lelaki.

Menurut laporan oleh Persatuan Modal Teroka & Ekuiti Persendirian Malaysia, pada 2020, syarikat baharu yang diterajui wanita di Malaysia hanya memperoleh 2.0 peratus daripada jumlah pembiayaan modal teroka, manakala syarikat baharu yang diterajui lelaki memperoleh 91 peratus. 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Venture Capital Management Berhad (Mavcap), Shahril Anas Hasan Aziz berkata, jumlah peratusan yang kecil itu adalah kerana kekurangan pendedahan dan pengetahuan dalam kalangan masyarakat tempatan. 

Shahril juga menyatakan bahawa hanya 14 peratus pembuat keputusan dalam firma VC Malaysia adalah wanita.

“Selain kekurangan pengetahuan dan pendedahan, kebanyakan syarikat pemula tidak mengetahui peranan Mavcap dalam membantu mereka mengumpul lebih banyak dana, terutamanya wanita.

“Berdasarkan pemerhatian kami, kami berpendapat kebanyakan wanita tidak sanggup mengambil risiko.

“Selain itu, kami dapati mereka yang datang kepada kami, adalah graduan dari luar negara yang mempunyai sedikit pendedahan dan ingin mencontohinya (VC) di sini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian selepas sesi Accelerating Ventures 2023 yang dianjurkan MAVCAP sempena Hari Wanita Antarabangsa 2023.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MAVCAP, Noor Amy Ismail berkata, perlu ada dorongan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam industri modal teroka, dengan pengagihan pembiayaan yang lebih saksama. 

“Walaupun Malaysia telah mengorak langkah dalam menangani jurang jantina, ini perlu menjadi usaha berterusan kerana wanita terus menghadapi halangan mendapat peluang kemajuan. 

“Kunci untuk mencabar status quo dan mewujudkan ekosistem yang lebih seimbang adalah dengan mengambil pendekatan holistik dan kolaboratif, sejajar dengan tumpuan baharu kerajaan terhadap konsep Malaysia Madani untuk sebuah negara yang progresif.

“Platform (sesi) semalam merupakan demonstrasi jelas komitmen Mavcap dalam menyokong kejayaan usahawan dan inovator wanita,” katanya.

Noor Amy juga berkata,  Mavcap telah berjanji untuk melabur dalam sekurang-kurangnya 25 peratus syarikat yang diterajui wanita di Asia Tenggara.

MAVCAP yang ditubuhkan pada 2001 berperanan sebagai syarikat dana modal teroka yang bertujuan membangunkan ekosistem teknologi di Malaysia melalui pelaburan ke atas syarikat pemula teknologi yang berpotensi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN