Rumah mampu milik jadi rebutan - Utusan Malaysia

Rumah mampu milik jadi rebutan

ORANG ramai lebih memilih rumah mampu milik yang dibina di lokasi strategik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap individu yang mempunyai pekerjaan serta keluarga mengimpi untuk memiliki kediaman sendiri bagi keselesaan serta jaminan masa hadapan. Bagaimanapun kenaikan harga rumah yang berlaku saban tahun melahirkan kebimbangan sama ada mereka mampu atau tidak untuk memiliki kediaman sendiri.

Tidak cukup daripada itu, cadangan segelintir pihak agar tempoh pembiayaan rumah dipanjangkan ekoran harga rumah semakin mahal juga dilihat tidak relevan malah dibimbangi membebankan peminjam dan ahli keluarga.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan harga rumah mampu milik baharu dijangka meningkat antara 20 hingga 25 peratus ekoran peningkatan terhadap permintaan dan kos bahan binaan walaupun harganya ditetapkan oleh kerajaan.

Justeru itu, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dalam mengawal kenaikan harga terutamanya rumah mampu milik bagi mengelak berlakunya lambakan rumah tidak terjual kerana rakyat khuatir tidak mampu membeli dan terbeban.

Abdul Hafiiz Abdul Kahar

Bagi penjawat awam, Abdul Hafiiz Abdul Kahar, kerajaan perlu lebih tegas dalam mengawal kenaikan harga rumah bagi menggalakkan lebih ramai pembeli rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jelasnya, lambakkan rumah yang tidak terjual menunjukkan kawalan harga rumah yang masih lemah dan memerlukan penyelesaian segera.

“Antara beberapa cadangan saya adalah Kerajaan perlu menyediakan pakej pembelian perumahan yang lebih berpihak kepada pembeli, kawalan faedah pembiayaan dan pemberian subsidi perumahan yang lebih meluas,” katanya.

Turut berkongsi pendapat sama, Eksekutif Kewangan, Nur Zulaikhazura Zulkifli berkata, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu memperbanyakkan projek rumah mampu milik di bawah harga RM200,000 di lokasi yang strategik.

Nur Zulaikhazura Zulkifli

Katanya, hampir ke semua projek perumahan yang dibangunkan pemaju masa kini berharga melebih RM300,000 di mana pembeli perlu membayar sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

“Sekiranya ia dibiarkan saya khuatir generasi muda masa kini dan akan datang bakal tidak memiliki kediaman kerana khuatir dengan komitmen bulanan yang tinggi serta tidak setimpal dengan gaji,” katanya.

Sementara itu ditanya sama ada cadangan memanjangkan tempoh pembiayaan perumahan perlu dilaksanakan atau tidak, Nur Zulaikhazura berkata, ia bukanlah cadangan yang bagus memandangkan bakal memberi beban kepada waris peminjam sekiranya mereka perlu menyambung bayaran pinjaman yang panjang.

“Ia akan membebankan anak-anak sekiranya ibu bapa sudah berpencen iaitu bukan pencen kerajaan jadi mereka tidak mempunyai wang untuk membayar pinjaman rumah tersebut, malah faedah pinjaman turut bertambah tinggi,” katanya.

Mohd Marhanis Mirza Mahmod

Perkara berkenaan turut disokong Eksekutif Korporat, Mohd. Marhanis Mirza Mahmod, bahawa tempoh pembiayaan maksimum 35 tahun berdasarkan dasar sedia ada sudah mencukupi mengambil kira umur peminjam sehingga tempoh persaraan.

Katanya, tempoh pembiayaan terlalu lama memberi risiko kepada peminjam menghadapi masalah kewangan disebabkan beban hutang berlebihan yang mungkin membawa kepada rampasan rumah, lantas menjejaskan objektif pemilikan rumah.

“Tempoh terlalu lama membebankan anak-anak generasi kedua terutamanya komitmen dan juga kos sara diri yang kian meningkat saban tahun,” katanya.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pelbagai rebat atau diskaun yang diperkenalkan pemaju perumahan bagi membantu rakyat untuk memiliki rumah, terutamanya hartanah yang tidak terjual di pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN