PETALING JAYA: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion tahun ini untuk melabur dalam syarikat pemula (startup) tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga akan menyediakan potongan cukai ke atas kos penyenaraian syarikat pemula di Pasaran ACE, LEAP serta saham teknologi ke Pasaran Utama.
Kata beliau, kerajaan mahu memastikan syarikat pemula berjaya mendapat akses kepada pembiayaan peringkat seterusnya di Malaysia, supaya mereka tidak perlu mencari penyenaraian di luar negara.
“Syarikat tersenarai juga akan dibenarkan menerbitkan saham dwi kelas,” katanya dalam ucaptama program Invest Malaysia di Hotel St Regis di sini, semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan komited dalam menyokong syarikat-syarikat pemula tempatan bernilai tambah tinggi dari peringkat awal sehingga penyenaraian mereka di Bursa Malaysia.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan menyediakan dana permulaan berjumlah RM10 juta sebagai permintaan terjamin kepada kredit karbon janaan Malaysia bagi memulakan pasaran, sejajar dengan sasaran mencapai sifar bersih seawal 2050.
Menurut Perdana Menteri, fokus yang boleh dipertingkatkan dalam pelaburan bidang pertumbuhan hijau termasuk teknologi hidrogen, biotenaga dan mobiliti elektrik.
“Bahagian utama yang boleh diberi penekanan dalam bidang ini ialah memastikan rakyat juga mendapat manfaat daripada pemindahan pengetahuan dan kemahiran berteknologi tinggi, sambil mengutamakan usaha penyelidikan dan pembangunan.
“Ia adalah salah satu bidang untuk pembangunan lanjut Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang direka semula untuk penyertaan sektor swasta yang lebih besar, manakala dalam akademik konvensional pula kemas kini tentang sukatan pelajaran universiti sedang dibangunkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan komited untuk meningkatkan lagi ekosistem kewangan Islam supaya dapat memacu perubahan masyarakat yang sebenar, terutamanya melalui pengoptimuman wakaf.
Sehubungan itu, Anwar berkata, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan melanjutkan Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf untuk memasukkan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) Islamik dan Dana Dagangan Bursa (ETF) Islamik berkuat kuasa 3 April 2023.
“Dengan keperluan yang semakin meningkat untuk syarikat meningkatkan perniagaan mereka, SC bersama Bursa Malaysia akan memperkenalkan Rangka Kerja Pemindahan Pasaran LEAP untuk syarikat berhijrah dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.
“Pada masa yang sama, Bursa Malaysia akan memperkenalkan Rangka Kerja Penasihat Diiktiraf baharu yang akan mengembangkan kumpulan penasihat untuk Pasaran ACE,” ujarnya.
Mengenai pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal, Perdana Menteri menjelaskan, ia tidak akan tertakluk kepada penjualan saham tidak tersenarai melalui tawaran awam permulaan (IPO) yang diluluskan.
“Saya ingin memberikan komitmen kerajaan bahawa cukai hanya akan dimuktamadkan selepas penglibatan yang meluas dengan pihak berkepentingan.
“Kedua, cukai tidak akan diperkenalkan ke atas saham tersenarai dan pelupusan saham tidak tersenarai untuk IPO yang diluluskan juga tidak akan tertakluk kepada Cukai Keuntungan Modal,” katanya. – UTUSAN








