Rasionalisasi subsidi perlu - Gabenor BNM

Rasionalisasi subsidi perlu – Gabenor BNM

KERAJAAN membelanjakan wang yang besar untuk memberi pelbagai subsidi bagi meringankan kos hidup rakyat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rasionalisasi subsidi perlu dilakukan kerajaan meskipun ini bukan masa yang sesuai, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus.

Beliau berkata, skim subsidi menyeluruh yang dilaksanakan kerajaan ketika ini disifatkan sebagai tidak mampan dan perlu dirasionalisasi bagi mengurangkan kesannya kepada pendapatan kerajaan dan rakyat.

“Ia (pelaksanaan rasionalisasi subsidi) boleh dipertikaikan bahawa ini bukan masa yang sesuai, tetapi ia merupakan sesuatu yang perlu dilaksanakan dan terdapat cara untuk melakukannya serta mengurangkan kesannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2022, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022, di Sasana Kijang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, bentuk subsidi semasa yang dinikmati rakyat tidak seimbang di mana ia turut memberi manfaat kepada golongan yang tidak layak.

Katanya, dengan merasionalisasikan skim subsidi semasa, penjimatan yang diperoleh dapat disalurkan dengan sewajarnya kepada kumpulan yang lebih memerlukan.

“Penjimatan yang direalisasikan daripada rasionalisasi akan disalurkan kepada kumpulan sasaran bagi menyokong mereka.

“Ia akan menghasilkan pengagihan semula sumber daripada golongan kaya kepada mereka yang paling memerlukannya,” katanya.

Tambah beliau lagi, rasionalisasi subsidi juga dapat memastikan kemampanan fiskal dan membolehkan kerajaan memperkukuhkan sistem perlindungan sosial di samping ke arah ekonomi lebih hijau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×