Petronas, Jogmeg bekerjasama dalam inisiatif peralihan tenaga - Utusan Malaysia

Petronas, Jogmeg bekerjasama dalam inisiatif peralihan tenaga

DATUK TENGKU TAUFIK TENGKU AZIZ (kanan) bersama Tetsuhiro Hosono pada majlis menandatangani MoC di antara Petronas dan JOGMEC di Tokyo, Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Japan Organization for Metals and Energy Security (Jogmec) untuk bekerjasama dalam inisiatif peralihan tenaga ke arah mencapai peralihan tenaga dan sasaran nyah karbon masing-masing.

Inisiatif tersebut termasuk kerjasama yang berpotensi dalam hidrogen hijau/biru dan pembangunan amonia bahan api, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) serta pengurusan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Kerjasama itu juga bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan teknikal dan kecekapan dalam teknologi rendah karbon, sambil memacu peluang perniagaan dan menyediakan sokongan teknikal dan kewangan.

Ini membolehkan Jepun mengambil bahagian dalam projek Petronas di dalam dan di luar Malaysia.

MoC tersebut ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Jogmec, Tetsuhiro Hosono, disaksikan Menteri Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Jepun, Yasutoshi Nishimura.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut diadakan di Forum Pelaburan Awam-Swasta Komuniti Pelepasan SifarAsia (AZEC) yang dianjurkan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Jepun di Tokyo.

Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas komited untuk melabur dalam teknologi dan inovasi untuk mempercepat pembangunan penyelesaian karbon rendah untuk pelanggannya.

“Melalui kerjasama sinergi dengan rakan kongsi yang mempunyai pemikiran sama seperti Jogmec, kami dengan sukacitanya terus mengukuhkan usaha dalam memacu inovasi dan skalabiliti dalam tenaga bersih.

“Ini sejajar dengan ke arah merealisasikan sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050 dan peralihan tenaga untuk Asia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN