PUTRAJAYA: Kadar inflasi pada bulan ini dan bulan depan dijangka melonjak susulan sentimen trend pembelian pengguna melakukan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Kebimbangan tersebut disuarakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada sidang akhbar mengenai Indeks Harga Pengguna Februari 2023 di kementeriannya, semalam.
“Kami (Kementerian Ekonomi) amat berdebar menunggu kadar inflasi Mac dan April yang mungkin naik sedikit ekoran permintaan tinggi konsumer sepanjang Ramadan,” katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan inflasi pada bulan lalu menunjukkan buat julung kali keadaan kembali mereda selepas tempoh enam bulan mencapai tahap kemuncak pada September 2022 iaitu 4.5 peratus.
Sehubungan itu, beliau optimis purata kadar inflasi nasional sepanjang tahun ini akan menepati ramalan sekitar 3.3 peratus dan mungkin boleh turun lagi kepada 3.1 peratus.
Pengumuman mengenai kadar semasa tersebut iaitu kekal 3.7 peratus, telah pun diumumkan Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin pada 24 Mac lalu.
Mengulas lanjut, Rafizi namun menjangkakan sentimen pembelian pengguna melakukan persiapan Aidilfitri akan mempengaruhi pasaran harga barangan domestik lebih ketara.
“Saya dan para pegawai kementerian serta pihak DOSM juga bimbang selain berdebar tunggu angka terkini inflasi seperti orang tunggu gaji hendak masuk,” jelasnya berseloroh.
Beliau bersyukur kerana sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara akhir tahun lepas, kadar inflasi secara umum mencapai tahap stabil.
“Malahan buat julung kali, ada berlaku penurunan harga untuk produk makanan siap yang boleh dan mudah dibeli oleh rakyat di premis perniagaan seluruh negara,” tambahnya.
Namun ujar beliau, penurunan signifikan item bagi bahan makanan itu diganti pula dengan lonjakan tinggi kategori makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak tujuh peratus.
Senario luar kawalan itu katanya, disebabkan gangguan rantaian bekalan ekoran banjir di beberapa negeri pada Januari lalu dan mempengaruhi peningkatan harga sayur-sayuran.
Rafizi berkata, secara keseluruhannya, inflasi bulan lalu sepatutnya lebih rendah tetapi secara teknikal, Malaysia sudah melepasi kemuncak inflasi tertinggi.
Sehubungan itu, pihak kerajaan tegasnya, tekad meneruskan pelbagai usaha berterusan bagi meringankan beban rakyat menerusi program yang berkaitan kos sara hidup. – UTUSAN










