Pendapatan Astro diunjur berkurangan - Penganalisis

Pendapatan Astro diunjur berkurangan – Penganalisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis pelaburan mengunjurkan semula pendapatan dan harga sasaran (TP) saham Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) selepas keuntungan bersih syarikat berkenaan jatuh 56.75 peratus kepada RM54.75 juta bagi suku tahun keempat tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (TK2023).

Memetik laporan The Edge, keuntungan bersih Astro merosot daripada RM126.59 juta bagi suku keempat TK2022 disebabkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan lebih rendah.

Katanya, ia disebabkan kos peraduan dan jalur lebar yang lebih tinggi diimbangi oleh kos berkaitan kakitangan dan barang dagangan yang lebih rendah.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research dalam nota kajiannya menurunkan taraf kaunter itu kepada ‘pegang’ dengan TP baharu sebanyak 59 sen berbanding 95 sen sebelum itu.

Penganalisisnya, Tan Je Jyne berkata, sisihan negatif itu disebabkan oleh hasil langganan lebih rendah daripada jangkaan serta kos kandungan yang lebih tinggi dan rentetan itu, penganalisis mengurangkan ramalan kepada 19.5 peratus bagi TK2024 dan 14.7 peratus bagi TK2025.

“Astro melakukan banyak perkara memulihkan kumpulan itu, memperoleh banyak platform penstriman yang sangat baik, melancarkan Astro Fiber dan pengiklanan yang boleh ditangani.

“Namun, prospek ekonomi yang lemah akan melemahkan sentimen pengguna dan pengiklan, hingga memberi kesan negatif terhadap permintaan produk kumpulan itu,” katanya

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Astro, dengan TP lebih rendah sebanyak 89 sen, berbanding 95 sen sebelumnya.

Menurut firma penyelidikan itu, TP yang disemak berdasarkan tambatan pada pendapatan TK2024 yang disemak semula sebanyak 9.3 sen sesaham berbanding nisbah harga pendapatan yang tidak berubah sebanyak 9.6 kali.

“Memandangkan pendapatan melepasi jangkaan kami, kami menyemak semula anggaran pendapatan TK2024 kami ke bawah sebanyak 46.1 peratus dengan mengambil kira hasil langganan yang lebih rendah daripada jangkaan, hasil pengiklanan serta jualan barangan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan keuntungan bersih Astro bagi TK2023 merosot kepada RM259.04 juta daripada RM460.88 juta dicatatkan pada tahun sebelumnya selepas ia mencatatkan pendapatan yang rendah pada suku keempat.

Keuntungan bersih syarikat berkenaan bagi suku keempat TK2023 susut kepada RM54.75 juta daripada RM126.59 juta dicatatkan sebelum ini manakala perolehan dalam tempoh berkenaan merosot 3.9 peratus kepada RM990.67 juta daripada RM1.03 bilion setahun sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×